KUALA LUMPUR – Kertas siasatan membabitkan tangkapan empat pegawai kanan dan seorang pegawai rendah polis kerana terlibat dalam jenayah pemerasan wang RM1.25 juta akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) esok.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, ia dirujuk bagi mendapatkan arahan susulan.
“Bagaimanapun, esok reman kelima-lima mereka tamat dan akan ada kenyataan lanjut (kes pemerasan) dari saya sendiri atau Ketua Polis Negara (Tan Sri Razarudin Husain) pada esok atau lusa nanti,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.
Mohd Shuhaily berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai perkembangan terbaharu dalam siasatan kes berkenaan.
Terdahulu, polis mengesahkan tangkapan ke atas kelima-lima pegawai kanan dan anggota itu yang terdiri daripada pangkat asisten komisioner, deputi superintendan, inspektor dan anggota berpangkat sarjan.
Kesemua ditahan pada 3 dan 4 Mei lalu sebelum direman untuk membantu siasatan lanjut yang dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) Bukit Aman.- MalaysiaGazette