Fadzli Mohamad Kamal

KUANTAN – Seramai 1,504 orang pelajar telah menyertai sesi pencarian bakat Majlis Sukan Pahang (MSP) yang melibatkan 22 program sepanjang tahun lalu menerusi Projek Bakat SUKMA 2026-2028.

Exco Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan Dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, daripada jumlah tersebut 417 orang bakat baharu telah disaring dan dipilih bagi menjalani latihan di bawah kendalian jurulatih sepenuh masa MSP.

Di samping itu MSP juga melaksanakan pengukuhan kepada program pembangunan bakat dengan penjenamaan semula program kepada tiga segmen utama di bawah 21, 17 dan 13 tahun.

”MSP telah menjalin kerjasama yang erat dan jitu serta konsisten bersama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dalam usaha mencungkil bakat atlet baharu di peringkat akar umbi khususnya di sekolah.

”Melalui inisiatif ini, MSP dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang telah mengenalpasti dan melantik guru-guru yang berkelayakan dan berkemahiran dalam bidang sukan sebagai jurulatih sambilan untuk mencari, mencungkil dan melatih atlet dalam kalangan para pelajar sekolah rendah dan menengah,” katanya.

Fadzli menjawab kepada pertanyaan Ho Chi Yang (DAP-Tanah Rata) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di sini hari ini.

Jelasnya, jurulatih dalam kalangan guru itu akan menerima elaun daripada Majlis Sukan Pahang mengikut tahap sijil yang dimiliki.

”Kadar elaun bagi Lesen A ialah RM750, Lesen B (RM600) dan Lesen C (RM500).

“Kita akan mempergiat dan memperkukuhkan pelaksanaan Program Pembangunan Sukan Prestasi Tinggi bagi melahirkan atlet berprestasi tinggi dalam kalangan pelajar untuk diketengahkan sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Bagi memastikan program pembangunan sukan di Pahang ini terus rancak, kerajaan negeri  melalui MSP turut menganjurkan beberapa kejohanan tertutup Pahang yang mensasarkan penyertaan di kalangan pelajar-pelajar sekolah di setiap daerah di negeri Pahang yang dijalankan secara berkala.

Antara kejohanan yang telah dilaksanakan ialah Karnival Future Elephant Warrior Hunt Siri 1 (Julai 2023), Karnival Pantai Timur (Okt 2023), Kejohanan Sepaktakraw Tertutup Pahang (Disember 2023), Kejohanan Olahraga Tertutup Pahang 2024 (Januari 2024), Revos Swimming Championship 2024 (Mac 2024).- MalaysiaGazette