Pemain Malaysia, Mohamad Faisal Halim meraikan gol kedua Harimau Malaya ketika menentang Turkmenistan pada perlawanan bola sepak dalam aksi kelayakan kumpulan E Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil. Foto MOHD ADZLAN, 08 JUN 2022.

KUALA LUMPUR – Selepas kejayaan pembedahan pertama dan kedua sebelum ini, bintang bola sepak Selangor FC, Faisal Halim dijangka melalui proses pembedahan ketiga pada petang ini.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar sambil meminta seluruh rakyat Malaysia mendoakan kesejahteraan Faisal.

“Petang ini (pembedahan ketiga),” katanya memetik laporan Arena Metro hari ini.

Menurutnya, mulai hari ini prosedur lawatan di hospital akan dipertingkatkan dengan mengehadkan pelawat menziarahi Faisal.

Langkah itu diambil bagi membolehkan proses rawatan berikutnya berjalan lebih lancar.

“Macam Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan) katakan (semalam), dah boleh (Faisal) main mata. Jadi dah semakin pulih.”

“Jadi kita bagi ruang kepada pihak doktor menjalankan tugas untuk pembedahan ketiga ini. Kita harap ia akan semakin baik,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Faisal akan mengharungi empat siri pembedahan bagi merawat lecur tahap empat dialaminya selepas diserang oleh dua individu tidak dikenali pada Ahad lalu.

Faisal atau lebih dikenali dengan jolokan Mickey disahkan doktor mengalami kecederaan di bahagian muka, leher, lengan dan badan kesan daripada curahan asid itu. – MalaysiaGazette