Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri bercakap kepada selepas hadir pada Majlis Ramah Mesra bersama penerima bantuan dan warga kerja institusi JKM ketika di Rumah Ehsan, Kuala Kubu Baharu. Foto MOHD ADZLAN, 09 MEI 2024.

HULU SELANGOR – Gabungan Parti Sarawak (GPS) menepis dakwaan Perikatan Nasional (PN) yang mengatakan parti itu tidak membantu Pakatan Harapan (PH) berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Naib Ketua Wanita I GPS, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, parti itu mempunyai cara yang tersendiri dalam berkempen untuk membantu calon PH, Pang Sock Tao.

“Saya (pemimpin) GPS dan saya ada di sini.

“Kita mempunyai cara tersendiri (untuk berkempen).

“Kami di GPS jarang bercakap mengenai politik tetapi kehadiran kami di sini menunjukkan kami menyokong serta memberi sokongan padu kepada kerajaan Persekutuan melalui kerajaan Perpaduan.

“Kita mahu rakyat kita menghargai apa yang telah kerajaan lakukan untuk mereka. Jadi, kita teruskan yang baik itu…inilah GPS,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis ramah mesra bersama penerima bantuan dan kakitangan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Selangor di sini, hari ini.

Nancy menjawab pertanyaan media susulan dakwaan berhubung perkara itu yang dijadikan modal oleh pemimpin PN semasa kempen PRK Kuala Kubu Baharu bermula 27 April lalu.

Dalam pada itu, Nancy turut menasihatkan pihak yang terlibat dengan kempen pilihan raya tersebut agar tidak terlalu sensitif dalam sesuatu isu.

Katanya, sokongan boleh ditunjukkan dengan hanya menghadirkan diri dalam acara-acara tertentu yang telah pun diatur

“Itu biasalah, dalam politik ni kita tak boleh sensitif sangat. (Kita) mesti pandai.

“Tidak perlu saya hendak bergaduh kerana PN pun kawan juga, PH pun kawan.

“Jadi, kita tunjuk sokongan dengan kehadiran kita menyantuni masyarakat, supaya masyarakat ingat dengan adanya kita di sini kita sentiasa membantu keperluan mereka.

“Tidak kira daripada GPS atau mana-mana…tetapi memang kita hendak pastikan bahawa kita perlu ada di sini,” tambah beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. – MalaysiaGazette