Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Sebuah kilang pembuatan kereta perisai akan dibina di kawasan perindustrian Padang Tengku di Lipis, sekaligus menjadikan kawasan tersebut sebagai bandar pertahanan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tapak kilang yang akan dibangunkan Mildef International Technologies Sdn. Bhd. (Mildef) itu telah diluluskan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang (PSK).

“Kini pihak syarikat sedang dalam rundingan memuktamadkan pelaburan dan dijangka mula melabur apabila pelaburan Fasa 1 daripada kilang peluru, Ketech Asia Sdn. Bhd. beroperasi sepenuhnya,,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika menjawab soalan Datuk Mustapa Long (BN – PadangTengku) pada Mesyuarat Pertama Penggal ke-3 Dewan Undangan Negeri Pahang (DUN), di sini, hari ini.

Menurut Wan Rusdy, pembinaan kilang itu secara tidak langsung dapat meningkatkan upah dan kontrak perkhidmatan melalui 150 pekerjaan yang bakal ditawarkan kelak.

Tambah beliau, projek tersebut juga dapat melonjakkan ekonomi setempat selain meningkatkan bilangan penduduk dan perbelanjaan isi rumah termasuk limpahan ekonomi.

Sementara itu, Wan Rusdy berkata, selain Mildef, Ketech Asia turut berminat untuk memajukan projek berasaskan industri pertahanan di kawasan tersebut.

Katanya, Ketech Asia yang merupakan kilang pembuatan peluru pertama di Malaysia dan berpengalaman dalam menguruskan keperluan peluru Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bakal melabur sebanyak RM150 juta.

Difahamkan kilang peluru itu akan dibangunkan di atas tanah seluas 100 ekar milik Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) yang dipajak kepada syarikat itu.

Syarikat tersebut dijangka beroperasi pada suku keempat tahun ini. – MalaysiaGazette