SEPANG – “Tahun ini, aku tidak sangka mendapat hadiah sempena Hari Ibu dengan menjadi tetamu-Mu, Ya Allah.”
Itu luahan hati Wan Maimunah Wan Abdul Aziz, 70, yang berlepas ke tanah suci pukul 6.30 pagi hari ini.
Pelakon air mata itu merupakan salah seorang daripada 353 jemaah haji dengan menaiki penerbangan Saudi Arabia KT4 yang dijangka akan tiba di Madinah pada pukul 10.45 pagi waktu tempatan.
Beliau yang senang disapa dengan panggilan Ibu itu tidak menyangka akan tiba di tanah suci Mekah pada 10 Mei yang jatuh pada Hari Ibu sekaligus membuatkannya lebih sayu dengan keadaan tersebut.
“Allahuakhbar, Ibu tidak ingat esok Hari Ibu, yang Ibu ingat hari ini hari Khamis malam Jumaat, awal pagi, insya-Allah Ibu akan sampai jika diizinkan Allah.
“Terima kasih Ya Allah, pada tahun ini, aku benar-benar dapat hadiah daripada-Mu, alhamdulilah..” katanya dalam nada sebak ketika ditemui pemberita di Kompleks Haji di MovenPick di sini awal pagi tadi.
Dalam pada itu, Wan Maimunah juga berkongsi perasaan syukurnya sebaik sahaja menerima panggilan menjadi tetamu haji di Tanah Suci pada tahun ini hingga menitis air mata.
“Bila Ibu dapat tawaran itu, ibu meraung. Alhamdulillah, aku punya permintaan dimakbulkan Allah sama ada ia ditangguhkan atau Ibu diundang menjadi tetamuNya.
“Ya Allah, sebelum jasad aku ditiupkan roh masuk, memang sudah ada tarikh bila ia akan diambil tapi semua atas kehendak Mu.
“Janganlah ambil aku dahulu, izinkan aku menunaikan rukun Islam kelima, sempurnakanlah aku untuk menunaikannya,” ujarnya.
Terdahulu, seramai 353 jemaah haji KT4 selamat berlepas ke Madinah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekitar pukul 6.30 pagi tadi.
Pada tahun ini, seramai 31,600 orang bakal jemaah haji dari Malaysia akan menunaikan ibadah rukun Islam yang kelima pada musim ini dengan wukuf di Arafah pada 9 Zulhijah atau bersamaan 15 Jun depan. – MalaysiaGazette