Wanita SPRM
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis telah menahan lima anggota penguat kuasa kerana disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak kira-kira RM29,000 daripada sebuah syarikat perikanan sebagai dorongan untuk membocorkan maklumat berkaitan operasi penguatkuasaan di sebuah negeri di utara tanah air.

Sumber memberitahu, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan antara 30 hingga 50-an dipercayai ditahan antara 12 tengah hari hingga 2.45 petang semalam di pejabat SPRM Perlis ketika diminta hadir memberi keterangan.

“Kesemua suspek telah ditahan kerana dipercayai menerima wang rasuah berjumlah RM500 hingga RM1,500 secara bulanan melalui pindahan akaun orang tengah.

“Siasatan awal mendapati kelima-lima suspek disyaki terlibat dengan perbuatan itu di antara tahun 2022 dan 2023,” kata sumber tersebut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perlis, Mohd Nor Adha Ab Gani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette