Tertuduh, Mohamad Daniel Aiman Mohd. Izwan Azizy, 19, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan merogol remaja berusia 15 tahun, minggu lalu.

MELAKA – Seorang pekerja kedai serbaneka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan merogol remaja berusia 15 tahun minggu lalu.

Tertuduh, Mohamad Daniel Aiman Mohd. Izwan Azizy, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azaraorni Abd. Rahman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah merogol seorang perempuan berusia 15 tahun ketika kejadian.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah hotel dalam daerah Melaka Tengah,kira-kira pukul 11 malam 3 Mei lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan.

Peguam, Azlinie Othman yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah kerana tertuduh hanya bekerja sebagai pembantu jualan sebuah kedai serbaneka dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

Selain itu, katanya, bapa anak guamnya itu juga tidak mempunyai pendapatan bulanan yang tetap.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM7,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula 10 Jun ini. – MalaysiaGazette