Foto: Polis Kota Tinggi

KOTA TINGGI – Seorang pelajar Tingkatan Dua maut manakala rakannya cedera apabila motosikal yang ditunggang mereka dilanggar sebuah kereta ketika memasuki simpang di Kilometer 1.0 Jalan Bandar Penawar-Punggai, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Hussin Zamora dalam kenyataan berkata, remaja lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Solariz itu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung insiden itu pada kira-kira 6.50 petang.

Menurutnya, motosikal mangsa yang dipercayai dari arah Desaru menuju ke Taman Desaru Utama dirempuh kereta jenis Kia Rio dipandu seorang wanita yang berada di laluan lurus.

“Penunggang motosikal itu dipercayai tidak memakai topi keledar, manakala pembonceng memakainya.

“Jenazah mangsa telah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan, manakala rakannya yang mengalami kecederaan patah tangan kiri masih mendapat rawatan di hospital sama,” katanya.

Hussin berkata pemandu wanita berusia 22 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast