Polis berjaya merampas sebuah lori bersama batang besi pelbagai saiz yang dipercayai besi projek Rel Hubungan Pantai Timur (ECRL) dalam serbuan di Temerloh hari ini

TEMERLOH – Polis sedang mengesan seorang lagi suspek yang disyaki mencuri besi untuk projek Rel Hubungan Pantai Timur (ECRL) di Temerloh.

Ketua Polis Temerloh, Asisten Komisioner Maslan Hassan berkata, suspek itu merupakan rakan komplot kepada dua lelaki berusia 42 dan 43 tahun yang diberkas hari ini.

”Pengadu merupakan seorang  pengawal keselamatan terdengar bunyi yang mecurigakan di tapak pembinaan Kampung Tengah, Jalan Triang semasa bertugas pada jam 11.59 malam 9 Mei lalu.

”Setelah pengawal keselamatan itu membuat pemeriksaan pengadu mendapati terdapat tiga orang lelaki India tidak dikenali sedang mengambil besi ECRL masuk ke dalam sebuah lori.

”Anggaran kerugian melibatkan RM10,000,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun katanya, ketiga-tiga suspek melarikan diri setelah pengawal keselmatan menghampiri mereka.

Polis turut merampas sebuah lori yang digunakan untuk melakukan jenayah berserta batang besi pelbagai saiz setelah serbuan dilakukan.

Hasil soal siasat mendapati kedua-dua suspek memiliki tiga rekod jenayah lampau.

Mazlan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette