Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berucap pada Ceramah Mega Perpaduan Grand Finale sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu di Stadium Mini Kuala Kubu Baharu. Foto MOHD ADZLAN, 09 MEI 2024.

HULU SELANGOR – Kesepakatan dan kerjasama yang diberikan oleh pimpinan peringkat pusat dan negeri dalam Kerajaan Perpaduan menjadi intipati penting kempen yang dijalankan Pakatan Harapan (PH) berlangsung dengan baik.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dengan kesepakatan itu jugalah beliau optimis kerusi Dewan Negeri Kuala Kubu Baharu dapat dikekalkan oleh PH menerusi calon yang diketengahkan.

“Esok (hari ini) tinggal sehari lagi kita akan teruskan kempen secara lokal yang telah kita laksanakan.

“…dan kalau dari segi jumlah kempen saya buat perbandingan juga lihat perkara di bawah akar umbi jumlah yang kita turun ke bawah sebenarnya jauh lebih besar

“Ini terhasil kerana ada kesepakatan daripada kepimpinan Kerajaan Perpaduan sama ada di peringkat pusat mahupun di peringakat negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas mengadakan cermah mega Grand Finale sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu di sini malam tadi.

Hadir sama pada ceramah itu pimpinan PH di peringkat pusat dan negeri dalam Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan; Naib Presiden Parti Amanah, Datuk Seri Mujahid Yusof; Setiusaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook; Setiusaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan ramai lagi.

Dalam pada itu, Amirudin yang juga Naib Presiden PKR berkata, respon yang sangat baik daripada komuniti kaum Cina, India dan Melayu menunjukkan peningkatan sokongan yang memberangsangkan.

Justeru, beliau yakin PRK Kuala Kubu Baharu akan menyaksikan kemenangan berpihak kepada PH menerusi calonnya Pang Sock Tao yang merupakan calon wanita muda mewakili parti DAP.

PRK Kuala Kubu Baharu yang menyaksikan pertandingan empat penjuru diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lalu, Lee menewaskan tiga pencabarnya daripada PN, PRM dan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dengan majoriti 4,119 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 27 April lalu sehingga jam 11.59 malam, malam ini.

DUN Kuala Kubu Baharu memiliki 40,226 pengundi berdaftar terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara. – MalaysiaGazette