GAZA CITY – Angka kematian rakyat Palestin di Semenanjung Gaza sejak Oktober lalu terus meningkat kepada 35,034 orang, kata Kementerian Kesihatan.
Sekurang-kurangnya 78,755 orang lain telah cedera dalam serangan berterusan oleh rejim zionis.
“Serangan Israel membunuh 63 orang dan mencederakan 114 yang lain dalam tempoh 24 jam yang lalu,” kata kenyataan itu.
“Ramai orang masih terperangkap di bawah runtuhan dan di jalan raya kerana penyelamat tidak dapat mencapai mereka,” tambahnya.
Israel telah melancarkan serangan kejam di Semenanjung Gaza sejak serangan rentas sempadan oleh kumpulan Palestin Hamas pada 7 Oktober lalu yang membunuh kira-kira 1,200 orang.
Tel Aviv juga telah mengenakan sekatan yang melumpuhkan di Semenanjung Gaza, menyebabkan penduduknya, khususnya penduduk di utara Gaza, berada di ambang kebuluran.
Lebih tujuh bulan selepas konflik, sebahagian besar Gaza runtuh di tengah-tengah sekatan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang melumpuhkan.
Sementara itu sekurang-kurangnya 300,000 rakyat Palestin telah melarikan diri dari Rafah yang telah menampung lebih 1 juta pelarian dari seluruh Gaza sejak tujuh bulan lalu.
Agensi berita Wafa melaporkan bahawa beberapa orang cedera parah ketika jet Israel mengebom sebuah rumah di kejiranan Brazil di timur Rafah. Kejiranan as-Salam, at-Tannour dan ash-Shawka di timur Rafah turut diserang.
Pertahanan Awam Palestin berkata, dron Israel melepaskan tembakan ke arah pekerja penyelamat yang cuba mencapai rumah selepas ia dibom di kawasan kejiranan Brazil.
Serangan udara berlaku ketika kereta kebal Israel turut mengepung kawasan itu.
Israel juga dilaporkan telah menghantar tentera kembali ke utara Gaza, dengan saksi melaporkan melihat kereta kebal di kem pelarian Jabalia, serta di kawasan kejiranan Sabra dan Zeitoun.- Agensi