TASEK GELUGOR – Tindakan sekumpulan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang bersembunyi di sebalik timbunan kotak di sebuah kilang memproses getah dan kertas kitar semula di Guar Petai di sini, gagal selepas mereka diberkas penguatkuasa imigresen semalam.
Serbuan yang dilakukan Jabatan Imigresen Pulau Pinang pada jam 12.30 tengah hari itu membawa kepada tangkapan 25 PATI yang terdiri daripada dua wanita dan 23 lelaki berusia 20 hingga 40 tahun.
Jabatan Imigresen Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, 25 PATI yang ditahan itu terdiri daripada dua lelaki warga China, lelaki Bangladesh (5) dan dua wanita serta 16 lelaki Myanmar.
“Antara kesalahan yang dikesan adalah gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah, tinggal lebih masa dan melanggar syarat- syarat pas.
“Semua tangkapan terbabit dibawa dan ditahan di Depot Imigresen Juru bagi siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
Tambah kenyataan itu, siasatan lanjut ke atas majikan juga akan dilakukan untuk tindakan selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Jabatan Imigresen Pulau Pinang akan mengadakan pemeriksaan berterusan di mana-mana premis dalam usaha mengesan dan membanteras PATI.
“Keperihatinan masyarakat juga adalah penting dalam menyalurkan maklumat berkaitan PATI bagi membolehkan tindakan sewajarnya dapat dilaksanakan,” katanya. – MalaysiaGazette