, Prof. Madya Dr. Ong Jeen Wei, Pengarah Alumni, Penglibatan Kerjaya, dan Pembangunan Keusahawanan (ACED), menerima Anugerah Universiti Pilihan Majikan (ECU) bagi pihak MMU baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Universiti Multimedia (MMU) mengukuhkan reputasinya dalam menghasilkan graduan berkualiti apabila ia muncul sebagai pilihan utama majikan melalui Anugerah Universiti Pilihan Majikan (ECU) 2024, baru-baru ini.

Anugerah yang diberikan oleh Talentbank itu sebagai mengiktiraf kecemerlangan MMU dalam menghasilkan graduan yang sangat digemari oleh majikan-majikan di Malaysia.

Presiden MMU, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd. Su’ud, menyifatkan kejayaan itu sebagai suatu pengiktirafan yang tepat untuk menghargai dedikasi berterusan oleh pihak universiti dalam mencapai misi utamanya menghasilkan graduan berkualiti berpaksikan kehendak industri.

“MMU ditubuhkan dengan matlamat untuk melahirkan graduan-graduan berkemahiran tinggi untuk menyokong industri Malaysia, dan kami melihat anugerah ini sebagai pengesahan lagi kedudukan MMU yang berada di landasan yang betul dalam menghasilkan tenaga mahir digemari majikan,” katanya.

Beliau menambah, MMU juga mengukur secara langsung kebolehpasaran graduan menerusi beberapa petunjuk termasuk Graduate Tracer Study 2023 yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi mendapati bahawa 97.7% graduan MMU mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan sahaja selepas menamatkan bergraduasi.

Mengulas tentang anugerah itu, Mazliham gembira dengan penghargaan yang diberikan oleh pihak industri kepada graduan MMU, sekali gus memberi dorongan kepada warga MMU untuk mencapai kejayaan lebih cemerlang pada masa depan.

“Anugerah-anugerah ini mencerminkan penerimaan industri-industri Malaysia terhadap komitmen kukuh MMU. Apa yang kami lakukan tidak mudah, terutamanya mengambil kira situasi pasar kerja semasa yang dinamik dan mencabar,” katanya. – MalaysiaGazette