Sebutan kes Papagomo atau Wan Muhammad Azri Wan Deris yang didakwa menghasut yang mendatangkan kebencian terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 23 MEI 2024

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak permohonan representasi yang dikemukakan bekas Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai ‘Papagomo’ dalam kes hasutan yang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya, Deepa Nair Thevaharan berkata, prosiding sebutan kes dilakukan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Aminah Ghazali.

Katanya, AGC mahu meneruskan kes tersebut.

Wan Azri dituduh menghasut dengan mengaitkan kerajaan pro-Israel dan Barat tahun lalu.

Hakim kemudian membuat ketetapan perbicaraan akan bermula pada 11, 12, 29 dan 30 Julai, serta menetapkan tarikh pengurusan kes pada 4 Julai ini.

Sebelum ini, Wan Azri mengaku tidak salah menghasut mengaitkan kerajaan pro-Israel dan Barat di Facebook.

Kesalahan itu dilakukan bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette