Datuk Prof Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin

MELAKA – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyelar fahaman mereka yang mendakwa universiti itu sebagai akademi apartheid malah menyifatkan individu itu tidak memahami sejarah UiTM.

Naib Canselornya Prof Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin berkata, sejak negara mencapai kemerdekaan, sistem pendidikan Malaysia semakin mencapah.

Ini jelasnya dapat dilihat apabila kerajaan membenarkan Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555), Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 termasuklah Akta UiTM atau Akta 173.

“Saya boleh katakan peluang pendidikan hari ini lebih daripada apa yang masyarakat memerlukan…peluang pendidikan itu sangat luas jadi tak timbul orang yang dinafikan haknya.

“Tidak timbul label (menggelar UiTM akademi apartheid) tapi kalau orang (itu) mencari kesalahan dan kepincangan mana-mana sistem maka mereka akan berkata atas kefahamaman (diri).

“Jadi sebelum kita berkata-kata, pastikan kita faham dan mencari maklumat sebenar,” katanya selepas ditemui pemberita selepas membentangkan kertas kerja Teknologi dan Media Sosial Dalam Membentuk Minda Madani sempena Konvensyen Madani Melaka di sebuah hotel di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Artikel berkaitan:

Semalam, kolumnis sebuah portal berita dalam talian melalui penulisannya mengaitkan UiTM dengan amalan sistem aparteid yang membawa maksud sistem diskriminasi secara ras dan pengasingan kaum.

Sistem Apartheid adalah suatu dasar segregasi kaum yang zalim sehingga memuliakan kaum orang putih berbanding orang kulit hitam di Afrika Selatan.

Mengulas lanjut, Shahrin berkata UiTM amat jelas dengan fungsinya dalam konteks kerjasama di semua peringkat sehingga ke pelbagai syarikat multinasional dalam dan luar negara.

“Kami juga memberi pendedahan kepada semua mahasiswa kami tentang realiti masyarakat majmuk Malaysia hari ini dari kepelbagaian agama dan etnik yang perlu bekerjasama untuk menyumbang kepada negara.

“UiTM langsung tidak mendidik dari segi kefahaman pensyarahnya mahupun anak didiknya (mengenai diskriminasi) jauh sekali, tidak langsung tergambar,” katanya. – MalaysiaGazette