Sebuah kereta Perodua Alza terbabas melanggar pembahagi jalan di Kilometer (km) 302.0 Lebuhraya Utara Selatan menghala Utara hari ini. FOTO Ihsan Bomba

KUALA LUMPUR – Lima individu nyaris maut selepas kereta yang dinaiki terbabas dan melanggar pembahagi jalan dalam kejadian di Kilometer (km) 302.0 Lebuhraya Utara Selatan menghala utara, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.04 pagi.

“Sebaik anggota tiba di lokasi mendapati, kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Alza terbabas melanggar pembahagi jalan melibatkan lima mangsa di dalamnya iaitu dua wanita dan tiga lelaki.

“Mangsa lelaki berusia 20-an telah dibawa EMRS ke Hospital Serdang manakala mangsa perempuan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi bersama jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian. – MalaysiaGazette