Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang pejalan kaki maut selepas dilanggar beberapa buah kenderaan di kilometer 15, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dari arah Rawang menghala ke Kuala Lumpur, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung insiden pada jam 6.18 pagi.

“Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa sedang melintas jalan di Kuala Lumpur-Ipoh sebelum dilanggar sebuah kenderaan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa telah tercampak ke atas jalan dan dilanggar beberapa kenderaan lain,” katanya.

Tambahnya, mangsa telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Selayang untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Rohaizad Hashim di talian 012-2924420.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-6126222,” katanya. – MalaysiaGazette