Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Datuk Ir. Ts. Abdul Razib Dawood hadir merasmikan Majlis Menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik di Malaysia di Ibu Pejabat Tenaga Nasional Berhad, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 27 MEI 2024

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB), Suruhanjaya Tenaga (ST) serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meningkatkan kerjasama dalam menjamin kestabilan bekalan elektrik kepada rakyat.

Tiga entiti tersebut menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola Penyelarasan dan Pengurusan Aset Tenaga Elektrik hari ini.

TNB diwakili Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan, ST diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Ts. Abdul Razib Dawood dan SPRM diwakili Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.

Penambahbaikan melibatkan pemasangan barrel lock pada kotak meter di premis pengguna yang dianggap berisiko tinggi.

Menurut Megat Jalaluddin, TNB merancang membeli 5,000 unit barrel lock pada tahun ini menggunakan peruntukan Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) tempoh ketiga (RP3) dengan pemasangan dijadualkan pada tahun 2025.

“Sistem biometrik tanpa kunci juga akan dipasang secara berpandu pada Pencawang Elektrik 11kV atau peti pembekal voltan rendah (feeder pillar) yang dikenalpasti berisiko tinggi, melibatkan 3000 unit.

“Selain itu, TNB akan melaksanakan pemasangan CCTV secara dalam talian di Pencawang Masuk Utama dan Pencawang Pembahagian Utama di kawasan berisiko tinggi.

“Manakala bagi tahun 2025 hingga 2027, kuantiti pelaksanaan bagi inisiatif-inisiatif ini adalah tertakluk kepada keputusan IBR RP4 oleh pihak kerajaan,” katanya dalam ucapan.

Sementara itu Azam berkata, penambahbaikan itu sejajar peranan proaktif SPRM menangani isu rasuah berkaitan kecurian elektrik yang boleh membahayakan aset strategik negara, berdasarkan Seksyen 7(c), (d), dan (e) Akta SPRM 2009.

Tindakan proaktif itu terbukti berkesan melalui operasi Ops Power yang membongkar kes kecurian elektrik oleh sindiket perlombongan bitcoin dan menyelamatkan TNB daipada kerugian kira-kira RM2 billion dua tahun lalu.

“Jenayah perlombongan bitcoin yang berleluasa sekitar dua tahun itu dapat ditumpaskan apabila TNB sendiri menyalurkan maklumat kepada kita.

“Ini kerana, agensi seperti TNB mempunyai kekangan kuasa dan SPRM membantu dalam menguatkuasakan undang-undang, membuat rampasan serta mengemukakan pertuduhan,” kata Azam.

Azam berkata, agensi besar tidak boleh bertindak secara in a silo apabila membabitkan kerugiaan yang bernilai tinggi, yang akhirnya akan merugikan kerajaan dan tidak memberi manfaat kepada masyarakat negara. – MalaysiaGazette