Tujuh kenderaan rosak dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Puchong petang tadi.- Gambar iIhsan Bomba Selangor.

KUALA LUMPUR – Kira-kira tujuh buah kenderaan telah mengalami kerosakan selepas dihempap pokok tumbang dalam kejadian hujan lebat dan ribut di Puchong hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden pokok tumbang itu sekitar 4.24 petang tadi.

Bertindak atas maklumat itu seramai sembilan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong telah bergegas ke lokasi bencana tersebut di Taman Kinrara.

“Komander operasi di lapangan PBK II Mohd Azri Kamil Bin Maarof memaklumkan bahawa siasatan awal di lokasi mendapati sebatang pokok telah tumbang dan menghempap tujuh buah kereta yang diberhentikan di Bawah pokok tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Pokok tumbang hempap tujuh kenderaan di Puchong petang tadi dialihkan anggota bomba penyelamat BBP Puchong hari ini.

Bagaimanapun, jelasnya, tiada mangsa dilaporkan dalam insiden pokok tumbang tersebut.

Katanya, anggota bomba melaksanakan kerja-kerja pengalihan dan pembersihan pokok tumbang di lokasi kejadian tersebut .-MalaysiaGazette