KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan melakukan persiapan awal termasuk membincangkan model kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, persediaan lain termasuk perbincangan membabitkan pertimbangan sama ada ingin bergerak solo atau meneruskan kerjasama sedia ada.
Jelas beliau, ketetapan kerjasama itu akan diputuskan secara bersama dalam mesyuarat kepemimpinan tertinggi komponen BN.
“Seperti disebut Pengerusi BN (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) sebelum ini, kita akan meneruskan apa yang ada. Kita juga melihat segala bentuk kerjasama dalam membentuk kerajaan Persekutuan hari ini.
“Model kerjasama (membentuk kerajaan Perpaduan) boleh diteruskan jika majlis pimpinan ingin membuat keputusan itu,” katanya pada sidang media dan prapelancaran Sambutan Jubli Emas Ulang Tahun BN ke-50 di sini hari ini.
Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi turut memberitahu, BN akan meneliti kerangka beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini untuk dilaksanakan sebagai panduan BN untuk menghadapi PRU-16.
“Sudah tentu kita melakukan persiapan awal kerana kerangka mula perlu dilaksanakan dan akan dimaklum dari semasa ke semasa,” katanya.
Mengenai perbezaan pendapat dalam parti komponen khususnya berkaitan kerjasama MCA dengan PH, beliau berkata, perkara itu boleh diselesaikan dalam ruang lingkup demokrasi dalam BN.
“Ada kalanya berlaku perbezaan ruang demokrasi dan saya tidak nafikan ia berlaku.
“Bagaimanapun, BN membuat keputusan secara bersama, keputusan untuk bekerjasama (dengan PH) hari ini juga adalah secara bersama dan tiada permasalahan untuk membentuk kerjasama,” katanya. – MalaysiaGazette