-fb Malaysian Hockey Confederation

KUALA LUMPUR – Pemain hoki kebangsaan Azimuddin Syakir Kamaruddin yang telah menerima khabar duka berikutan pemergian ayahandanya hari ini, tetap akan bersama pasukan meneruskan perjuangan membawa cabaran negara bagi menghadapi Kejohanan Piala Negara-Negara yang sedang berlangsung di Poland.

Perkara itu disahkan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) yang memaklumkan ayahanda Azimuddin, Kamaruddin Misman telah meninggal dunia di Kluang Johor pagi tadi.

KHM memaklumkan Azimuddin mengambil keputusan untuk meneruskan perjuangan di Poland, berikutan perjalanan pulang ke Malaysia mengambil masa sehingga 30 jam, dan perkara itu telahpun mencapai kata sepakat beliau dan ahli keluarganya.

“Presiden Datuk Seri Subahan Kamal, Ahli Lembaga Eksekutif dan staf KHM ingin menzahirkan ucapan takziah kepada pemain hoki senior lelaki kebangsaan Azimuddin Syakir Kamaruddin, yang kehilangan ayahanda tercinta Allahyarham Kamaruddin Misman, awal pagi ini di Kluang Johor.

“Allahyarham Kamaruddin Misman atau dikenali sebagai Wak Din tidak asing dalam arena sukan hoki di Malaysia, dan merupakan Ketua Jurulatih Remaja Negeri (KJRN Johor) di bawah Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) sejak 2019 hingga akhir usia beliau,” menurut kenyataan KHM.

Menurut kenyataan KHM, Wak Din juga pernah berkhidmat sebagai pembantu jurulatih skuad hoki dalam dewan wanita, Sukan SEA 2019 Filipina yang muncul juara.

Piala Negara-Negara, berlangsung sejak Jumaat sehingga 9 Jun.

Setakat ini, skuad negara yang diberi julukan The Speedy Tigers memulakan perlawanan dengan keputusan seri 4-4 bersama Pakistan pada perlawanan pembukaan dan tumpas 1-3 bertemu Perancis semalam.

Kejohanan itu menampilkan dua kumpulan iaitu lima dalam Kumpulan A  (New Zealand, Poland, Austria, Afrika Selatan dan Korea Selatan) dan empat (Perancis, Pakistan, Kanada dan Malaysia) dalam Kumpulan B.

Pasukan tempat ketiga dan keempat daripada setiap kumpulan akan beraksi dalam perlawanan klasifikasi untuk menentukan kedudukan lima hingga kelapan, manakala perlawanan separuh akhir akan berlangsung Sabtu ini dan final pada hari berikutnya.

Juara kejohanan ini berpeluang beraksi pada Liga Profesional Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH). – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast