Mohd Taib (tiga dari kiri) pada sidang media Kajian Penyelidikan Hang Tuah Menerusi Sumber-Sumber Baharu di Dewan Perbadanan Muzim Melaka (Perzim), Banda Hilir, Melaka hari ini.

MELAKA – Pasukan Penyelidik Kajian Penyelidikan Mengukuh Kewujudan Hang Tuah tidak pernah mengiktiraf mana-mana pihak yang tampil mendakwa sebagai waris pahlawan Melayu itu.

Ketua penyelidiknya, Prof Datuk Dr Mohd Taib Dora berkata, sebaliknya kajian mengenai Hang Tuah masih berjalan dari semasa ke semasa berdasarkan sumber-sumber baharu terutamanya dari luar negara.

Beliau yang juga Naib Canselor Universiti Islam Melaka (Unimel) berkata, proses menentusahkan waris sebenar masih panjang dan memerlukan penelitian tuntas serta saintifik.

“Para penyelidik meraikan pihak-pihak yang mengaku sebagai waris (Hang Tuah) tetapi tidak bermaksud kita mengiktiraf mereka.

“Setakat ini terdapat tiga pihak mengaku waris Hang Tuah yang menetap di Duyong, Singapura dan Bintan, Indonesia…tapi kami tidak pernah mengakui mana-mana pihak adalah waris sebenar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sisang media Kajian Penyelidikan Hang Tuah Menerusi Sumber-Sumber Baharu di Dewan Perbadanan Muzim Melaka (Perzim), Banda Hilir hari ini.

Pada 21 Mei lalu, kerajaan negeri menerima penyerahan artifak berupa sebilah Keris Sundang dan sepasang Keris Hukum dipercayai kepunyaan Hang Tuah daripada Tun Muhammad Amin Tun Ahmad, 49, dari Kepulauan Bentan, Riau, Indonesia yang mendakwa waris ke-11 pahlawan era kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka itu.

Dua artifak itu diserahkan kepada Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh untuk dijadikan salah satu bahan menarik bagi tatapan orang ramai di Pameran Hang Tuah yang dijadualkan berlangsung di sini bulan ini.

Mengulas lanjut, Mohd Taib berkata, pasukan itu juga akan menggunakan teknologi terkini seperti pentarikhan karbon dan cerapan untuk membuktikannya jika terdapat keperluan.

“Kita akan bawa semua pihak yang mengaku waris pada Pameran Hang Tuah dan terserah kepada mereka untuk membuktikannya (termasuk) salasilah jalur keturunan mereka juga akan dipamerkan.

“Setakat ini, kajian dan penyelidikan kami bermula Ogos tahun lalu masih berjalan dan terbuka untuk sebarang pandangan dengan matlamat kajian adalah untuk memperkukuh kewujudan Hang Tuah,” katanya.

Pameran Hang Tuah akan diadakan bermula 10 Jun hingga 7 Julai ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) bermula dengan Galeri Zaman Keagungan Kesultanan Melayu Melaka dan disusuli dengan Galeri Hang Tuah.

Ia termasuklah kisah asal usul dan riwayat hidup, karektor Hang Tuah, pelayarannya ke seluruh dunia, filem dan manuskrip hikayat Hang Tuah dalam pelbagai bahasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast