NIBONG TEBAL – Kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memerangi berita palsu di media sosial sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap akan datang.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pemantauan platform berkenaan sememangnya dilaksanakan untuk menangani kenyataan tidak bertanggungjawab.
“Saya lihat kebiasaannya apabila berlangsungnya PRK negeri atau Pilihan Raya Umum (PRU), memang akan ada pasukan yang meneliti kesemua platform ini.
“Penelitian dilaksanakan iaitu di peringkat kementerian dan peringkat badan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) selain agensi serta jabatan lain antaranya Jabatan Penerangan.
“Insya Allah, (jawatankuasa) akan kita buat untuk PRK nanti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Sembang Santai Komuniti Madani di Sungai Bakap sini, hari ini.
Pada program itu, Fahmi meluangkan masa hampir dua jam untuk menyampaikan beberapa pandangan kepada komuniti setempat khususnya membabitkan usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan negara sekali gus membantu meningkatkan pendapatan rakyat.
Mengulas lanjut beliau berkata, Komuniti Madani juga perlu memainkan peranan dalam menangani penyebaran bahan-bahan bersifat fitnah dan tidak betul.
“Rakan-rakan Komuniti Madani mesti menjadi pasukan paling hadapan untuk menangkis dan mengalahkan fitnah serta tohmahan berasaskan fakta sekali gus memastikan maklumat tidak tepat dapat dikekang daripada tular,”
“Selain itu, kita ada segmen Biar Betul yang disiarkan di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi menangkis penyebaran berita palsu dan fitnah dalam kalangan masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette
















