Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam, bercakap ketika ditemubual mengenai TVET dalam pembinaan CIDB di pejabatnya di Komplek Kementerian Kerja Raya, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 05 JUN 2024

KUALA LUMPUR – Sektor pembinaan seperti mana industri lain turut mengalami lonjakan evolusi berikutan perkembangan teknologi yang pesat sekali gus memerlukan tenaga mahir yang mampu memenuhi kehendak pasaran.

Bagi menepati keperluan majikan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah sekian lama  mewujudkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pembinaan.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, sejumlah 85 peratus lepasan TVET Pembinaan CIDB berjaya memperolehi pekerjaan selepas tamat kursus.

“Permintaan sentiasa ada, dari masa ke masa kita memperhalusi kerjasama dengan pemain industri dalam bindang yang perlu diberi tumpuan dan dikemas kini bersandarkan cabaran teknologi semasa.

“CIDB bukan sendirian dalam memainkan peranan ini tetapi bekerja rapat dengan pemain industri dan akhirnya kita boleh memberikan sesuatu yang boleh diterima dan dikehendaki oleh pemain industri,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sektor pembinaan memerlukan ramai tenaga mahir.- Foto MUHD NA’IM, 06 JUN 2023.

Menurut beliau, program TVET Pembinaan direka berdasarkan kepada Construction Skills Qualifications Framework (CSQF) iaitu sebuah rangka kerja menyeluruh yang menyelaras pelbagai kelayakan dan mendapatkan pengiktirafan dunia.

Program Latihan Kompetensi Kemahiran atau LKK dilaksanakan sepenuhnya oleh Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan CIDB Technologies (CIDB Tech) yang ditubuh dan ditauliahkan oleh CIDB untuk melatih dan menilai kemahiran pekerja industri pembinaan.

Latihan kemahiran yang disediakan menggunakan modul berasaskan standard kemahiran yang dibangunkan oleh pemain industri dan pakar dalam bidang pembinaan.

Tenaga pengajar pula berpengalaman dalam bidang kemahiran dan pernah mengikuti latihan di luar negara dan berpengetahuan.

Pelatih akan diberi Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP) setelah melepasi penilaian yang dilaksanakan.

SKKP tersebut mempunyai pensijilan ISO/IEC 17024:2012 dalam tiga bidang iaitu welding, blasting dan painting (BPO) dan Non-Destructive Testing (NDT).

TVET Pembinaan yang dilaksanakan CIDB juga merujuk kepada pembangunan standard yang diterima pakai oleh pihak industri iaitu Construction Occupational Competency Standard (COCS).

Katanya, terdapat lebih dari 100 bidang pembinaan ditawarkan termasuk berimpak tinggi seperti pemasangan perancah, kimpalan, operasi kren, operasi jentera, mekanikal dan elektrikal dan banyak lagi.

Tempoh program kemahiran TVET Pembinaan CIDB antara 6 bulan hingga 2 tahun.- Foto SYADILA AMARI, 16 MEI 2024.

Tempoh latihan adalah antara tiga bulan hingga dua tahun bergantung kepada kursus yang dipohon.

“Kita kena faham dalam masyarakat bukan semua orang ada kemampuan dari segi kewangan dan masa untuk belajar selama empat tahun.

“Mungkin sebab keadaan keluarga menyebabkan dia perlu bekerja dengan cepat selepas habis Sijil Pelajaran Malaysia. Keluar sahaja keputusan dalam tempoh enam bulan mereka hendak bekerja.

“Jadi golongan ini kita kena sediakan peluang laluan pantas, supaya selepas enam bulan mereka ada dalam pasaran pekerjaan dan sudah boleh membantu keluarga dan sebagainya,” kata Hasnol sambil menambah sejak 20 tahun lalu sehingga kini CIDB telah berjaya melahirkan 420,000 pekerja mahir pembinaan.

Jelasnya, CIDB juga menjalin kerjasama dengan syarikat mega seperti Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Petrolium Nasional Berhad (Petronas), Sarawak Energy Berhad (SEB) dan Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) bagi memantapkan kemahiran pelatih.

Terdapat dua kategori pengambilan TVET Pembinaan iaitu Program LKK bagi belia berusia 17 hingga 35 tahun dengan kelayakan sekurang-kurangnya boleh membaca, mengira dan menulis.

Manakala Program LKK bagi personel binaan berumur 18 hingga 55 tahun, sedang bekerja atau mempunyai pengalaman bekerja sekurang-kurangnya enam bulan dalam bidang yang dipohon.

Apa yang menarik, kos latihan untuk rakyat tempatan dibiayai sepenuhnya oleh CIDB manakala pekerja asing pula dikenakan yuran.

Tahun ini menurut Hasnol, CIDB memperuntukkan sebanyak RM55 juta bagi melatih belia dan personel binaan.

Lepasan TVET Pembinaan CIDB menjadi rebutan majikan.-Foto MUHD NA’IM, 06 JUN 2023.

CIDB juga kini giat membangunkan kemudahan infrastuktur digital bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran di ABM dan CIDB Technologies.

Ia selari dengan keperluan industri semasa  dalam memastikan perubahan ke arah pendigitalan terhadap sektor pembinaan dapat direalisasikan berdasarkan Pelan Strategik Pembinaan 4.0 (C4.0).

Pembelajaran termasuk penyediaan modul digital, pengaplikasian penggunaan teknologi Augmented Reality (AR), Virtual Reality (VR) dan drone bagi bidang berimpak tinggi serta pembinaan ‘Multi-Use Technology Lab’ yang disasarkan tahun ini.

Hari TVET Negara 2024 akan berlangsung hari ini dan esok di Institut Latihan Perindustrian Kuala Langat.

Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program TVET Pembinaan dan mahu membuat permohonan boleh layari laman web www.cims.cidb.gov.my.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast