Acara selama dua minggu itu dibawakan khas oleh Tsuburaya Productions Co.Ltd dan One Universal Production Sdn. Bhd. di Orange Concourse Sunway Pyramid, Selangor.

KUALA LUMPUR – Tidak dapat dinafikan, siri Ultraman sememangnya menjadi kegilaan golongan kanak-kanak sejak ia diperkenalkan di negara ini ketika pertengahan tahun 1980-an.

Revolusi watak adiwira itu semakin menarik dan segar sepanjang tahun sepanjang lebih 30 tahun menjadi penghibur dunia kanak-kanak malah orang dewasa juga turut meminati siri berkenaan.

Justeru bagi peminat Ultraman, berita gembira apabila anda berpeluang untuk menyaksikan sendiri kehadiran watak animasi dan anime popular dari Jepun itu di negara ini pada 13 hingga 23 Jun ini.

Acara selama dua minggu itu dibawakan khas oleh Tsuburaya Productions Co.Ltd dan One Universal Production Sdn. Bhd. di Orange Concourse Sunway Pyramid, Selangor.

Penganjur dalam satu kenyataan berkata, acara tersebut diadakan sempena meraikan kehangatan filem Ultraman: Rising yang akan ditayangkan di Netflix bermula pada 14 Jun ini.

Apa yang menarik, peminat watak figura aksi itu berpeluang menyaksikan sebuah statu berukuran setinggi 2.6 meter dengan pelbagai watak Ultraman lengkap dengan kostum bersaiz gigatron yang turut akan dipamerkan di lokasi sama.

Selain itu, peminat juga berpeluang menyaksikan penampilan Ultraman Arc yang difahamkan merupakan pertama kali seumpamanya dilakukan di Malaysia.

Malah, hero Ultraman terbaharu itu juga bakal menemui peminat menerusi tayangan sulungnya di saluran Astro Ceria pada Julai ini.

Ultraman merupakan watak fiksyen superhero Jepun yang sangat terkenal pada akhir 1960-an hingga pertengahan 1980-an.

Pada masa sama, antara tarikan lain di lokasi tersebut termasuk naskhah Ultraman Blazar the Movie: Tokyo Kaiju Showdown yang dijadualkan ditayangkan pada 20 Jun ini di seluruh pawagam TGV.

Lebih mengujakan, peminat juga berpeluang bersemuka dan beramah mesra bersama hero filem tersebut yang dilakonkan oleh Tomoya Warabino secara eksklusif pada satu segmen khas.

Selain itu, pelbagai aktiviti menarik juga diadakan bagi memeriahkan acara termasuk Permainan Kad Ultraman yang juga akan dilancarkan tidak lama lagi.

Dalam pada itu, tahun ini juga menyaksikan ulang tahun ke-15 Ultraman Zero dan bagi meraikan acara ini, watak kesayangan ramai itu juga akan ‘hadir’ bagi bertemu peminat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast