ALOR GAJAH – “Bulan lepas waktu kami berjumpa, Kak Long ada cakap nak jadi popular, tak sangka hari ini arwah betul-betul terkenal seminggu sebelum ulang tahun kelahirannya yke 48 pada 16 Jun ini.”
Itu luahan sebak Mohd Hafizuddin Hassan – adik bongsu Allahyarham Hasnatul Adilah Hassan, 48, yang merupakan antara tiga mangsa meninggal dunia dalam nahas membawa 37 penumpang bersama dua pemandu yang menyertai rombongan guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka untuk ke Terengganu awal pagi tadi.
Mohd Hafizuddin, 37, tidak menyangka gurauan arwah yang merupakan anak pertama daripada enam beradik berakhir tragedi ketika sedang bertugas.
“Betullah memang Along jadi ‘popular’ sampaikan Ketua Menteri Melaka (Datuk Seri Ab Rauf Yusoh) dan Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) pun tahu dan ramai mendoakan pemergiannya yang juga ibu tunggal sejak dua tahun lalu.
“Saya anggap apa yang berlaku ini sudah ketentuan Allah dan reda dengan pemergiannya meninggalkan lima anak berusia antara 12 hingga 27 tahun,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah keluarganya di Kampung Ramuan China Besar, Masjid Tanah di sini hari ini.
Bercerita lanjut, Mohd Hafizuddin yang merupakan pegawai tentera darat berpangkat mejar di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, Kedah itu berkata, kakaknya tidak menunjukkan sebarang ketara sebelum pemergiannya.
“Kak Long memang terkenal dengan kakak yang tegas tapi penyayang mungkin kerana tugasnya sebagai Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.
“Cuma saya rasa sedikit terkilan kerana tak dapat meluangkan masa bersamanya ketika cuti sekolah baru-baru ini,” katanya menahan sebak.
Jenazah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tangki Air Ramuan China Besar, di sini lewat petang ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 pagi tadi, sebuah bas yang membawa 39 orang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori treler di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat dekat Simpang Tiga Bahau.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Nor Azman Yusof dilaporkan berkata, siasatan awal mendapati pemandu bas berkenaan gagal memberhentikan kenderaan lalu merempuh sebuah lori treler.
Selain, Hasnatul turut terkorban adalah kelindan bas, Mohd Adi Hasan, 29, yang meninggal Dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Muadzam Shah.
Seorang lagi yang maut adalah guru, Hamzah Ahmad, 60, ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: