KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan 22 Ogos depan bagi mendengar rayuan pendakwaan berhubung pembebasan penyanyi dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman berkaitan dadah.
Penolong Kanan Pendaftar, Azmi Aman menetapkan tarikh itu selepas pihak pembelaan dan pendakwaan bersetuju untuk memfailkan hujahan bertulis pada 15 Julai ini.
Muhammad Yasin diwakili peguam Ariff Azami Hussein manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lokman Kasim.
Pada 29 Mac 2023, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepas dan membebaskan penyanyi dan komposer itu atas tiga pertuduhan kes dadah.
Mahkamah turut memerintahkan Muhammad Yasin ditempatkan di bawah jagaan selamat di Hospital Bahagia Ulu Kinta mengikut Seksyen 348(1) Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).
Yasin akan ditempatkan di hospital berkenaan selama tempoh mengikut perkenan Sultan Selangor di bawah Seksyen 348(2) KTJ.
Pada 24 Mac 2022, MUhammad Yasin didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah di kediamannya di Persiaran Surian, Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara.
Pertuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 kali jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette