Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan akan mempertahankan penjawat awam yang menjalankan tugas dengan baik dan tidak akan terikut-ikut dengan tekanan daripada puak ‘penyakau’.

Perdana Menteri berkata, beliau telah memaklumkan kepada Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali untuk mempertahankan penjawat awam yang menjalankan tugas dengan bertanggungjawab. 

“Saya akan pertahankan setiap penjawat awam selagi mereka menjalankan tugas dengan baik. Saya tidak akan terikut dengan tekanan pengakau ini.

“Saya sudah berada dalam politik lama dan pernah ada dalam kerajaan, tidak selalu seorang ketua akan berikan pengarahan yang jelas dan pertahankan tugas penjawat awam.

“Ini saya beri jaminan dan tegaskan. Banyak kes-kes di mana tindakan diambil dan tekanan di peringkat tertinggi untuk mengambil tindakan kepada pegawai yang menjalankan tugas,” katanya dalam ucapan sempena perhimpunan warga Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri, pagi ini.

Hadir sama adalah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah dan timbalannya, Lim Hui Ying.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, terdapat banyak kes dilaporkan mengenai ada tindakan diambil terhadap penjawat awam biarpun menjalankan tugas dengan baik susulan ‘tekanan’ daripada pegawai peringkat tertinggi.

“Saya sudah setahun setengah jawat Perdana Menteri tidak pernah bagitahu tidak kepada penjawat awam, jangan ambil tindakan terhadap mereka.

“Kalau tidak puas hati, lihat balik dan timbang sama ada adil atau tidak. Setidak-tidaknya ada Perdana Menteri yang pertahankan penjawat awam dan tidak sekat kerja,” tambah Menteri Kewangan itu lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast