Faisal Halim. Foto I

KUALA LUMPUR – Rindu peminat bola sepak tanah air ke atas Faisal Halim bakal terlerai apabila tonggak Harimau Malaya akan muncul buat kali pertama petang ini selepas menjadi mangsa simbahan asid bulan lalu.

Menerusi jemputan kepada media, pemain berusia 26 tahun itu bakal menghadiri sidang media khas di Shah Alam bagi memaklumkan perkembangan terkini mengenai tahap kesihatannya.

Sidang media yang dianjurkan Selangor FC itu bagaimanapun akan dijalankan dengan proses ketat.

Untuk rekod, Faisal menjadi mangsa simbahan asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei lalu sehingga disahkan melecur tahap empat.

Kecederaan pemain yang mesra dengan gelaran Mickey itu pada awalnya agak kritikal tetapi kian stabil selepas melakukan empat pembedahan susulan di hospital swasta di Shah Alam.

Namun, proses pemulihan Faisal berjalan lebih cepat daripada jangkaan dan dibenarkan keluar dari hospital sejak 25 Mei lepas. – MalaysiaGazette