KUALA LUMPUR – Bidang sukan akan tetap menjadi keutamaan kerajaan walaupun negara menghadapi kekangan kewangan dan kelembapan ekonomi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi jaminan itu berkata, ia memandangkan kegiatan sukan di negara ini mampu meningkatkan lagi taraf kehidupan rakyat selain menggalakkan budaya sihat.
“Kita akan cuba sedaya upaya kerana sukan ada kekuatannya. Kerana ia adalah satu kegiatan aktiviti yang tidak memisahkan kelompok desa bandar dan pedalaman, kaum atau agama menerusi satu minat di dukung bersama.
“Jika ada keperluan akan kita bentangkan ke Jemaah Menteri. Walaupun menghadapi kekangan ekonomi dan kewangan kita akan beri pertimbangan untuk peruntukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2023 di Bukit Jalil, di sini, malam ini.
Turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan timbalannya Adam Adli Abd Halim dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.
Mengulas lanjut, Anwar memberitahu, kerajaan komited untuk terus memberi kelonggaran daripada segi percukaian kepada penderma yang menaja persatuan sukan di negara ini.
“Saya mengulangi kenyataan pada rakan di kementerian termasuk persatuan bahawa kelonggaran daripada segi percukaian kepada penderma yang berikan bantuan dan sokongan untuk majukan sukan di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette