Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan mengambil tindakan lebih tegas berhubung usaha menyelesaikan konflik Israel-Palestin terutama dalam menghentikan genosid di Gaza.

“Malaysia perlu menghubungi semua sekutu kita dalam Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) dan badan serantau lain untuk campur tangan atau menyokong hak rakyat Palestin kepada sebuah negara yang merdeka,” kata Pesuruhjaya Suhakam, Tengku Mohamed Fauzi Tengku Abdul Hamid pada sidang akhbar, di sini, hari ini.

Suhakam turut menggesa kerajaan untuk meneruskan usahanya dalam memberi bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza dan menjalin kerjasama rapat dengan organisasi antarabangsa serta negara lain bagi memastikan penyampaian bantuan serta membantu mereka yang memerlukan.

“Selain itu, kami menggalakkan masyarakat antarabangsa untuk meningkatkan usaha mereka dalam menangani punca konflik dan menyokong inisiatif bagi mencapai keamanan berkekalan di rantau itu.

“Suhakam bersama-sama dengan penduduk Gaza serta mengulangi komitmennya untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia untuk semua.

“Kami mengucapkan takziah kepada mangsa dan keluarga mereka serta menggesa agar tindakan segera dan diselaras diambil untuk mengurangkan penderitaan penduduk yang terjejas,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast