KUALA LUMPUR – Penyanyi jazz, Rayme Zainal terharu apabila terpilih menyertai Konsert Destiny Of Music  di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam pada 29 Jun ini.

Dia yang pernah menyertai pertandingan realiti TV All Together Now pada tahun 2022 tidak menyangka dapat berkongsi pentas dengan nama-nama besar seperti Aina Abdul, Ernie Zakri, Kugiran Masdo, Haziq Rosebi dan juga barisan penyanyi UiTM.

Rayme yang juga berbakat di dalam bidang ciptaan lagu rasa teruja untuk menyanyi di hadapan ribuan penonton yang hadir di Konsert Destiny of Music nanti.

“Menyanyi di hadapan khalayak yang sebahagiannya adalah pelajar-pelajar UiTM semestinya akan memberi saya pengalaman yang berbeza berbanding dengan menyanyi di majlis-majlis korporat.

“Ini kerana cabarannya lain kerana sasaran umur penonton dan citarasa penonton semestinya berbeza,” katanya yang pernah tular kerana memiliki wajah persis pengacara dan penyanyi, Roslan Shah.

Rayme berharap agar kemunculan sulung pada konsert besar itu bakal memberi pengalaman dan pendedahan berbeza dalam usahanya mendekati lebih ramai peminat melalui lagu-lagu ciptaan beliau.

Ketika ini lagu-lagunya seperti Andai dan Close To You mendapat perhatian pendengar-pendengar aplikasi Spotify.

Sementara itu, Konsert Destiny Of Music akan menyaksikan paduan vokal hebat apabila Ernie Zakri dan Aina Abdul bakal berduet mendendangkan lagu Kurik Kundi nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Konsert yang dibawakan khas oleh B De Paris Beauty Project dengan kerjasama Pusat Kebudayaan UiTM bertujuan mengembalikan memori penonton ke zaman kanak-kanak di mana penonton bakal dihiburkan dengan lagu-lagu rakyat serta lagu tradisional.

Dalam pada itu, Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam mampu memuatkan 3,000 tempat duduk bagi menjamin keselesaan kepada penonton.

Sementara itu, tiket konsert telah mula dijual secara online di Ticket2U.com dengan harga bermula dari RM98.00 hingga RM488 bagi orang awam. – MalaysiaGazette