M. Kumar

KUALA LUMPUR – Dua penjenayah terbunuh selepas berbalas tembakan dengan anggota polis di Jalan Abad, Taman Abad, Johor Bahru, Johor, petang semalam.

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar yang mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian polis berbalas tembakan pada jam 5.04 petang berkata, seorang suspek berusia 42 tahun bersama rakannya mati ditembak dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), Toyota Estima yang dinaiki mereka.

“Kejadian berlaku semasa sepasukan polis dari Bahagian D14, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Bahagian D9, JSJ Kontinjen Johor mengekori sebuah Toyota Estima berwarna putih di lokasi kejadian dalam keadaan mencurigakan.

“Apabila menyedari telah diekori, suspek bertindak melarikan diri sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis yang sedang mengekori rapat,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Kumar, berikutan itu anggota polis melepaskan tembakan ke arah kenderaan terbabit sehingga keadaan selamat dan pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek terkena tembakan dan meninggal dunia.

Tambah beliau, semakan mendapati suspek berusia 42 tahun mempunyai 38 rekod jenayah dan dadah manakala seorang lagi suspek masih belum dikenal pasti identiti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemui.

Jelas Kumar, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan dua pucuk pistol di dalam kenderaan dinaiki suspek dan pihaknya turut menemui sepucuk pistol pada badan salah seorang penjenayah tersebut.

Katanya, polis turut menemui pelbagai jenis bahan dipercayai dadah berbahaya di dalam kenderaan itu.

Kumar berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menyalurkannya dengan menghubungi talian hotline Polis Johor 019-2792095 atau talian bilik gerakan di talian 07-221299. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here