KUALA LUMPUR – Malaysia dan China akan memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar-Luar Bandar, Republik Rakyat China (RRC) dalam bidang perumahan dan pembangunan bandar.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, majlis pertukaran MoU itu akan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan diadakan sempena lawatan rasmi Perdana Menteri China, Li Qiang Tuan ke Malaysia bermula hari ini hingga Khamis ini.
Katanya, antara bidang kerjasama yang telah dipersetujui oleh Malaysia dan RRC melalui MoU itu adalah berkenaan perumahan, perancangan bandar dan bandar pintar.
“Susulan pemeteraian MoU mengenai kerjasama perumahan dan pembangunan bandar ini, kedua-dua negara dijangka akan menerokai potensi kerjasama dalam perumahan pintar (smart homes), pembangunan semula bandar, mobiliti bandar, daya huni bandar, kemampanan bandar, pemprofilan, penyelesaian dan perkhidmatan pintar untuk pengoperasian dan pengurusan bandar, pembinaan dan pengubahsuaian pintar, dan perkongsian mengenai pengiktirafan dan pensijilan bandar pintar.
“Melalui MoU ini, kedua-dua negara akan turut mendapat manfaat melalui perkongsian kepakaran dan amalan terbaik serta kerjasama dalam inisiatif dan projek berkepentingan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Kor Ming lagi, Malaysia juga berpeluang untuk mendapatkan kepakaran dan terknologi terkini berkaitan perumahan dan pembangunan urbanisasi daripada RRC yang mempunyai potensi meningkatkan nilai pelaburan negara, nilai pembangunan kasar serta mampu menjana ekonomi tempatan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan
Tambahnya, pertukaran MoU dalam bidang perumahan dan pembangunan urbanisasi ini adalah dilihat sebagai satu kerjasama strategik dan signifikan antara Malaysia dan RRC.
Pada masa yang sama beliau berkata, ia secara langsung dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara dan mengukuhkan lagi hubungan dua hala sedia ada yang telah terjalin antara kedua-dua negara. – MalaysiaGazette