PUTRAJAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengenal pasti beberapa individu dan syarikat yang menjalankan aktiviti perdagangan mata wang kripto termasuk menjual dan membeli aset digital yang tinggi baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin berkata, pihaknya sedang menyemak data-data pihak terbabit bagi menentukan sama ada berlaku isu percukaian atau tidak.
“Kita tahu bahawa dalam sesuatu keadaan atau jumlah transaksi adalah tinggi dan sebagainya, apa-apa daripada keuntungan kripto ini juga tertakluk kepada cukai,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu beliau merasmikan Majlis Penyampaian Sijil Penyertaan Program Tax Corporate Governance LHDN.
Dalam pada itu, Abu Tariq menggesa orang ramai menghubungi LHDN untuk mengenal pasti aktiviti perniagaan dalam talian yang dikenakan cukai atau sebaliknya.
“Pihak LHDN sebenarnya telah mengeluarkan garis panduan berhubung dengan layanan percukaian bagi transaksi kripto ini.
“Kita pun telah keluarkan kenyataan sebelum ini garis panduan tersebut sebagaimana individu yang secara aktif menjalankan transaksi ini, kita syorkan untuk menghubungi kita bagi mendapatkan kepastian,” katanya.
Selain itu, ketika ini LHDN sedang memberi tumpuan kepada perdagangan mata wang kripto didapati melibatkan urusniaga yang tinggi.
“Kita sedang beri tumpuan kepada mereka yang telah menjalankan aktiviti ini dalam volum yang tinggi dan tidak membuat apa-apa pelaporan kepada kita iaitu keuntungan yang telah mereka terima.
“Volum Itu merujuk kepada kekerapan transaksi dan jumlah transaksi yang mereka lakukan.
“Sudah tentu keuntungan daripada transaksi tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette