Dr. Dominic Lau Hoe Chai.

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan mendakwa niat kerajaan menurunkan harga telur sebanyak 3 sen untuk membantu rakyat paling miskin namun tanpa sedar turut membantu tauke-tauke telur yang mengaut keuntungan daripada subsidi.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, Kerajaan Madani tambah subsidi RM100 juta atau bersamaan 10 sen sebiji telur untuk membayar kepada pengeluar tetapi rakyat hanya menerima manfaat penurunan 3 sen sebiji telur sahaja.

Baki 7 sen dapat kepada pengeluar, katanya.

Susulan itu beliau mempersoalkan adakah Kerajaan Madani mahu menolong rakyat dengan ikhlas ataupun penurunan 3 sen ini sekadar gula-gula untuk menagih undi semasa Pilihan Raya Sungai Bakap kerana mengikut pengeluar-pengeluar tidak jamin harga telur akan kekal.

“Pada pendapat saya, langkah tepat adalah kerajaan harus memastikan produktiviti telur meningkat dari semasa ke semasa ia boleh membantu dari segi permintaan dan mengurangkan penawaran sekali gus harga telur dapat dikekalkan atau turun.

“Kedua, adakah ini dipanggilkan mekanisme komprehensif daripada Madani untuk turun harga barang? Inikah pengumuman khas mengenai mekanisme barang keperluan yang digembar-gemburkan jurucakap Kerajaan Madani, Fahmi Fadzil,” tanya beliau.

Menyifatkan langkah ini bukti kerajaan tidak peka terhadap keluhan rakyat.

“Oleh kerana sistem ekonomi negara tidak efisien dan gagal diurus dengan baik oleh pucuk pimpinan kerajaan, maka rakyat akan menghadapi kesulitan hidup yang lebih teruk,” ujar Dominic lagi.

Beliau menyeru supaya Kerajaan Madani mewujudkan pakej ekonomi atau bantuan rakyat bernilai RM4 bilion yang bersamaan dengan jumlah penjimatan perbelanjaan kerajaan hasil penyasaran subsidi. – MalaysiaGazette