KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Bukan Eksekutif SRC Sdn Bhd, Datuk Suboh mendakwa beliau tidak pasti jika tandatangannya yang tertera dalam dokumen syarikat pelaburan strategik itu telah dipalsukan.
Dakwa Suboh, beliau percaya dirinya hanya sekadar ‘rubber stamp’ dalam SRC bagi melaksanakan kehendak Datuk Seri Najib Razak melalui arahan bekas Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) Nik Faisal Ariff Kamil.
Ketika memberikan keterangannya di Mahkamah Tinggi semalam, dakwa Suboh, beliau tidak boleh memberi apa-apa pengesahan sama ada tandatangan beliau itu sahih dalam mana-mana dokumen pelaburan SRC.
Dakwa Suboh lagi, Nik Faisal hanya menemuinya jika mahukan beliau untuk menandatangani apa-apa dokumen.
Suboh juga mengesahkan hanya berinteraksi dengan Nik Faisal berkaitan apa-apa arahan Najib dan bukan secara terus dengan bekas Perdana Menteri itu.
“Nik Faisal pernah bawa dokumen untuk saya tandatangan dan saya hanya menurut. Jika tanya, Nik Faisal hanya jawab ‘boss yang nak’ atau ‘pihak atasan’.
“Proses ini berterusan sepanjang khidmat saya dalam syarikat SRC,” katanya.
Suboh berkata demikian dalam keterangannya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin dalam prosiding kes saman AS$1.8 bilion yang difailkan SRC International (plaintif) terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO,) Nik Faisal Ariff Kamil.
Selain Najib dan Nik Faisal, Suboh telah dinamakan sebagai pihak ketiga responden bersama-sama bekas pengarah lain, iaitu Tan Sri Ismee, Datuk Mohamed Azhar Osman Khairuddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar.
SRC mendakwa kedua-dua defendan bersubahat dan melakukan pecah amanah dan Najib turut didakwa menyalahgunakan kuasanya dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.
Ia memohon perisytiharan, semua defendan bertanggungjawab untuk membayar kerugian dana pelaburan itu akibat penggunaan jumlah pinjaman terbabit, selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Dakwa Suboh lagi, semua lembaga pengarah hanya mengisi keperluan korporat dan tidak bertindak dalam urusan harian atau keputusan berkaitan sebarang pelaburan syarikat itu.
Perbicaraan akan bersambung pada Isnin depan. -MalaysiaGazette