Abdul Rasheed Ghaffour (dua dari kanan) dan Pengurus Besar BIS Agustín Carstens (tiga dari kanan), bersama (dari kiri ke kanan) Gabenor Bank of Thailand Sethaput Suthiwartnarueput, Gabenor Bangko Sentral ng Pilipinas Eli Remolona, ​​Rizab Gabenor Bank of India Shaktikanta Das dan Pengarah Urusan Penguasa Kewangan Singapura Chia Der Jiun pada majlis pelancaran Project Nexus fasa empat.

KUALA LUMPUR – Bank for International Settlements (BIS) dan rakan-rakan pelaksananya memuktamadkan rangka tindakan menyeluruh bagi fasa tiga Projek Nexus, yang akan membolehkan peserta yang telah bersedia untuk maju ke peringkat seterusnya iaitu menghubungkan IPS mereka dengan lancar.

Bank Negara Malaysia, Bangko Sentral ng Pilipinas, Monetary Authority of Singapore, Bank of Thailand dan pengendali sistem pembayaran segera (IPS) domestik masing-masing yang telah bekerjasama dalam fasa tiga akan disertai oleh Reserve Bank of India dalam fasa empat. Penyertaan Reserve Bank of India akan memperluas potensi liputan pengguna untuk merangkumi pengguna Unified Payments Interface (UPI) di India iaitu IPS terbesar di dunia.

Bank Indonesia (BI) akan meneruskan penglibatannya dalam projek ini sebagai pemerhati khas. BI telah mengambil bahagian dalam fasa tiga dan akan terus mengikuti perkembangan projek pada peringkat selanjutnya dalam kapasiti ini.

Nexus telah direka bentuk untuk menyeragamkan proses IPS domestic berhubung antara satu sama lain.

Melalui langkah ini, pengendali IPS tidak lagi perlu membina sambungan khusus bagi setiap negara baharu yang ingin dihubungkan, sebaliknya cukup dengan pengendali membina satu sambungan ke rangkaian Nexus.

Sambungan tunggal ini akan membolehkan IPS berhubung dengan semua negara lain yang menyertai rangkaian tersebut.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, dengan muktamadnya fasa tiga, bank pusat semakin hampir untuk melaksanakan infrastruktur pembayaran rentas sempadan generasi seterusnya.

Rangka tindakan menyeluruh untuk memajukan Projek Nexus ini adalah hasil kerjasama erat bank-bank pusat ASEAN yang turut serta dan BIS untuk menghasilkan infrastruktur pembayaran rentas sempadan yang terkemuka di dunia.

Infrastruktur ini bukan sahaja akan memberikan manfaat kepada negara-negara ini tetapi juga akan membuka jalan untuk ketersambungan pembayaran global yang lebih meluas. Kami juga mengalu-alukan penyertaan India dalam fasa Projek Nexus yang seterusnya.

Pengurus Besar BIS, Agustín Carstens berkata, projek ini merupakan projek BIS Innovation Hub pertama yang menggerakkan bank-bank pusat ke fasa operasi secara langsung bersama-sama dengan pengendali IPS.

“Apabila dilaksanakan, Nexus akan meningkatkan kecekapan pembayaranrentas sempadan dengan ketara, sejajar dengan program pembayaran rentas sempadan G20 serta misi kami untuk membangunkan perkhidmatan bagi manfaat orang ramai dalam ruang teknologi untuk menyokong bank-bank pusat dan menambah baik fungsi sistem kewangan,” katanya.

Meskipun hanya dengan negara-negara yang terhubung dalam gelombang pertama, Nexus sudahpun berpotensi untuk menghubungkan pasaran yang merangkumi 1.7 bilion orang secara global.

Keadaan ini membolehkan mereka membuat bayaran pada masa nyata kepada satu sama lain dengan mudah dan pada kos yang lebih murah

Kesimpulan dan iktibar daripada fasa tiga Nexus telah diperincikan dalam laporan yang diterbitkan hari ini. Laporan ini disertai dengan buku peraturan skim yang terperinci dan panduan pelaksanaan teknikal serta spesifikasi mesej ISO 20022, yang boleh diberikan kepada bank-bank pusat atas permintaan.

Bagi memudahkan Nexus ke fasa operasi, rakan-rakan pelaksana yang terdiridaripada bank-bank pusat dan para pengendali IPS telah bersetuju untuk bekerjasama menubuhkan satu entiti baharu iaitu Nexus Scheme Organisation (NSO).

NSO akan bertanggungjawab untuk menguruskan skim Nexus dan meneruskan misi mencapai pembayaran rentas sempadan pada masa nyata mengikut skala.

NSO akan dimiliki sepenuhnya oleh bank-bank pusat dan/atau IPS daripada setiap negara yang mengambil bahagian, bergantung pada struktur domestik
khusus masing-masing.

Dalam membangunkan rangka tindakan fasa tiga Nexus, BIS telah memenuhi peranannya untuk menyokong bank-bank pusat mencari penyelesaian inovatif bagi menyediakan perkhidmatan untuk manfaat orang ramai. Tindakan ini juga merupakan salah satu komitmen utama BIS di bawah G20 Roadmap for Enhancing Cross-border Payments.

Nexus merupakan projek BIS Innovation Hub yang bertujuan untuk mempertingkatkan kecekapan pembayaran rentas sempadan dengan menghubungkan berbilang sistem pembayaran segera (IPS) domestik dari serata dunia.

Projek ini ialah projek BIS Innovation Hub pertama dalam bidang pembayaran yang akan beralih ke fasa operasi secara langsung.

BIS akan memainkan peranan sebagai penasihat kepada Projek Nexus semasa proses pembentukan skim operasi dengan Nexus terbuka kepada peserta-peserta baharu dari seluruh dunia.

Ia akan membantu bank-bank pusat dan pengendali IPS di India, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand dalam usaha mencapai pelaksanaan secara langsung pada fasa yang seterusnya, dan Bank Indonesia terlibat sebagai pemerhati khas. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here