KUALA LUMPUR – Apakah rintihan rakyat yang meluahkan rasa kecewa mereka kerana menjadi mangsa kenaikan harga diesel RM3.35 seliter dianggap politik kebencian?
Itu persoalan Ketua Pembangkang, Datuk Hamzah Zainuddin.
Menurut beliau, apakah bila rakyat bangkit menuntut janji turun harga minyak dari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dilabelkan politik kebencian.
“Apakah bila rakyat menegur kerajaan kerana berurusniaga dengan BlackRock melibatkan penjualan saham sehingga 30 peratus aset strategik negara iaitu Malaysia Airpots Holding Berhad (MAHB) membabitkan syarikat yang terlibat menyokong genosid Israel dan tidak dilakukan secara tender terbuka merupakan politik kebencian?” soalnya lagi dalam kenyataan media sosialnya.
Menurut Hamzah, apakah kerana rakyat menegur Kerajaan Madani cakap tak serupa bikin – kononnya mahu membanteras rasuah tetapi bekas menteri yang terkait dengan kes rasuah hampir RM100 juta langsung tidak didakwa.
Kononnya mahu banteras rasuah tapi desakan supaya kekayaan luar biasa bekas setiausaha politik disiasat tidak diendahkan, katanya.
“Kononnya mahu banteras rasuah, tapi sekadar pandang sebelah mata kontroversi projek DRT libatkan suami seorang menteri dianggap politik kebencian?
“Sebenarnya banyak lagi kalau hendak disenaraikan.
Jangan mudah lupa diri bila ditampuk kuasa,” katanya. – MalaysiaGazette