Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak Sambung bicara rasuah IPIC RM6.6b membabitkan bekas PM, di hadapan Hakim Datuk Jamil Hussin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 19 JUN 2024

KUALA LUMPUR – Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini yang menolak pemohonan bekas Perdana Menteri itu mencabar kewujudan titah adendum yang dikatakan telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Ini berkaitan Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah.

Selain itu, menurut peguam yang mengetuai pasukan bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, pihaknya sedang menimbangkan tindakan undang-undang berasingan berhubung dakwaan titah tambahan diraja itu, iaitu dalam bentuk writ saman di Mahkamah Sivil, di sini.

Pada prosiding hari ini juga, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Amarjeet Singh ketika membacakan keputusannya pagi ini berkata, beberapa afidavit termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Walaupun Zahid telah melihat titah tersebut di telefon bimbit Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz namun ia tidak boleh diterima pakai.

“Saya telah pertimbang afidavit pertama dan kedua hanya mengandungi kenyataan kosong tanpa menamakan sumber atau kepercayaannya mengenai kewujudan titah adendum itu. Pada saya ini hanya sekadar ‘dengar cakap’ dan khabar angin.

“Tengku Zafrul juga cuba masukkan afidavit sendiri (bukan menyokong) namun mahkamah tidak benarkan. Semua ini menyebabkan saya memutuskan untuk semua afidavit ini hanya sekadar dengar cakap. Tidak ada fakta material,” katanya hari ini.

Najib memohon perintah mandamus mengarahkan sama ada semua responden atau seorang daripada mereka menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan bertarikh 29 Januari 2024.

Beliau memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu pada 1 April dengan menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di JPM serta kerajaan Malaysia sebagai responden.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah agar kesemua responden atau seorang daripada mereka diarah untuk menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum bertarikh 29 Jan 2024.

Selain itu Najib memohon perintah jika titah itu wujud maka kesemua responden atau seorang daripada mereka perlu melaksanakannya dan dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Najib juga memohon perintah agar kesemua atau seorang daripada responden memberikan salinan titah utama oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 berhubung pengurangan hukuman penjara dan denda serta titah adendum selain memohon kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Najib sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September darpada 12 tahun penjara kepada enam tahun, manakala denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here