KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket pelacuran warga asing dalam Operasi Khas di lapan lokasi berasingan di Kuala Lumpur dan Selangor, semalam.
Serbuan dilakukan di dua lokasi di Jalan Tun Razak dan enam lokasi lain iaitu Jalan Pudu di Kuala Lumpur; Kampung Baru Subang di Shah Alam; Pusat Bandar Puchong di Puchong; Taman Andalas Jaya, Taman Bayu dan Klang Central di Klang.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh berkata, berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi menahan seramai 75 orang.
Tambah beliau, modus operandi sindiket adalah menawarkan perkhidmatan urutan badan dan pelacuran.
“Pelanggan akan hadir sendiri ke premis dan memilih wanita warganegara asing berdasarkan katalog yang diberikan.
“Selain itu, pelanggan juga boleh memilih wanita warganegara asing dengan menggunakan foto-foto mereka melalui aplikasi Telegram dan WhatsApp,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Daripada 75 individu yang ditahan itu, 32 perempuan adalah warga Indonesia, 11 perempuan warga Bangladesh, lapan perempuan warga Vietnam dan enam perempuan warga India.
Selain itu, pihak berkuasa itu turut menahan tujuh lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki warga Indonesia yang kesemuanya berusia dalam lingkungan 17 hingga 46 tahun.
Tujuh lelaki dan seorang wanita warga Malaysia berusia dalam lingkungan 23 tahun hingga 65 tahun turut ditahan dalam operasi yang bermula pada jam 1.45 petang melibatkan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.
Menurut Ruslin, bayaran secara tunai akan diberikan kepada penjaga premis semasa pelanggan mula untuk memasuki bilik dan kadar bayaran yang dikenakan adalah RM100 hingga RM400 bagi satu jam.
Tambah beliau, semakan mendapati 13 perempuan warga Indonesia dan empat perempuan warga Vietnam yang ditahan memiliki pas yang masih sah laku manakala dua perempuan warga Indonesia dan seorang perempuan warga Vietnam telah tinggal lebih masa.
Ruslin berkata, warga asing lain yang ditahan tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini.
Sementara itu, beliau berkata, pasukan operasi telah merampas sebuah telefon bimbit, 15 naskhah pasport Indonesia, lima naskhah pasport Vietnam, wang tunai sebanyak RM1,75, satu set komputer dan 10 buah buku kerja daftar pelanggan.
Katanya, kesemua warga asing ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Jelas beliau, mereka ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut manakala tujuh lelaki serta seorang wanita warga Malaysia dipercayai bekerja sebagai penjaga premis ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.
“Selain daripada itu, seramai tiga lelaki warganegara Nepal, seorang lelaki warganegara Bangladesh, 14 lelaki warganegara Malaysia dan seorang perempuan warganegara Malaysia diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” ujarnya. – MalaysiaGazette