Oleh: Dr. Azhar Yaacob
Baru-baru ini dunia sukan digemparkan dengan insiden atlet remaja dari China meninggal dunia akibat serangan jantung dalam satu kejohanan badminton antarabangsa. Insiden ini, walaupun bukanlah yang pertama berlaku dalam dunia sukan, ia membawa persoalan kepada adakah aktif bersukan memberikan risiko kesihatan kepada mereka yang melakukannya? Umumnya, bersukan mempunyai pelbagai kebaikan kesihatan sama ada kesihatan fizikal atau mental. Bersukan boleh mengurangkan risiko penyakit seperti penyakit darah tinggi, kencing manis, penyakit jantung dan tahap stres seseorang individu. Risiko kesihatan bagi mereka yang aktif bersukan juga wujud seperti serangan jantung, serangan athma yang disebabkan oleh senaman dan kecederaan sukan.
Namun, risiko kesihatan ini dapat dikurangkan dengan mengamalkan beberapa langkah pencegahan seperti membuat penilaian kesihatan dan kecergasan sebelum melibatkan diri dalam sesuatu sukan. Penilaian boleh dilakukan secara kendiri terutamanya bagi individu yang tidak mempunyai masalah kesihatan. Antara penilaian kendiri yang boleh dilakukan
adalah dengan menjawab soalselidik ‘Physical Activity Readiness Questionnaire’ (PAR-Q). Soal selidik ini bertujuan untuk menilai kesediaan seseorang individu sebelum melakukan aktiviti fizikal seperti bersukan dan risiko-risiko kesihatan lain yang dimiliki oleh individu tersebut.
Dapatan penilaian kendiri ini dapat memberikan panduan sama ada individu tersebut boleh melibatkan diri dalam sukan atau perlu melakukan pemeriksaan kesihatan yang lebih lanjut.
Selain itu, bagi mereka yang baru dan ingin melibatkan diri dalam sukan, pemilihan sukan yang sesuai adalah penting bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Faktor yang perlu diambil kira dalam memilih sukan yang ingin diceburi adalah tahap kecergasan fizikal semasa dan skil yang dimiliki untuk terlibat dalam sukan tersebut.
Sekiranya seseorang individu tersebut mempunyai tahap kecergasan yang rendah, ia adalah merbahaya untuk terus melibatkan diri dalam sukan yang berintensiti tinggi seperti bermain badminton, bola sepak atau futsal. Adalah dinasihatkan supaya individu yang mempunyai tahap kecergasan yang rendah memilih sukan yang berintensiti rendah dahulu seperti berjalan dan berbasikal. Antara lainnya, sesi pemanasan badan adalah sesuatu yang sangat penting namun kerap diabaikan. Sesi pemanasan badan adalah penting bagi menyediakan badan sebelum bersukan dan mengelakkan kecederaan dari berlaku. Pemanasan badan secara intensif selama sekurang-kurangnya 10 minit dilihat mampu untuk memberikan kesan yang baik kepada badan sewaktu bersukan dan mengelakkan kecederaan dari berlaku.
Biasanya badan akan kehilangan banyak air akibat daripada perpeluhan sewaktu bersukan. Jumlah perpeluhan juga dipengaruhi oleh faktor suhu persekitaran, oleh itu cuba elakkan untuk bersukan di kawasan yang panas bagi mereka yang baru
terlibat dalam sukan. Jika situasi itu tidak dapat dielakkan, pastikan pengambilan air adalah cukup sebelum, semasa dan selepas bersukan. Dalam kebanyakan situasi senaman
berintensiti rendah dan sederhana, pengambilan air kosong sudah mampu untuk menghidratkan semula badan. Bagi masyarakat yang ingin melakukan sukan yang berintensiti tinggi dan berlaku perpeluhan yang banyak, sangat disarankan supaya mengambil minuman elektrolit seperti minuman isotonik untuk membantu mengekalkan fungsi badan yang baik sewaktu bersukan.
Paling penting, masyarakat harus mengetahui tanda-tanda awal serangan jantung seperti jantung berdegup terlalu laju walaupun sukan yang dilakukan berintensiti rendah, sakit di bahagian dada, sukar bernafas, pitam dan berpeluh secara melampau. Jika tanda-tanda ini muncul sewaktu melakukan aktiviti sukan, sebaiknya perlulah berhenti dengan segera dan mendapatkan nasihat perubatan yang sewajarnya. Walaupun terdapat risiko kesihatan ketika melakukan aktiviti sukan, manfaat
kesihatan yang diperolehi dengan bersukan adalah lebih besar berbanding risiko kesihatan lain.
Terdapat bukti yang menunjukkan senaman dapat mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular, tekanan darah tinggi, angin ahmar, osteoporosis, diabetis dan obesiti. Merujuk kepada insiden serangan jantung sewaktu bersukan baru-baru ini, sewajarnya tidak menjadikan masyarakat takut untuk bersukan, sebaliknya menjadi pendorong untuk meningkatkan pengetahuan terhadap tahap kesihatan mereka dan seterusnya memilih dan melakukan senaman yang bersesuaian.
Penulis adalah Pensyarah Kanan (Pengajian Sukan)
Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia