KUALA LUMPUR – Parti Sosialis Malaysia Petaling Jaya (PSM PJ) mengecam dan membantah sekeras-kerasnya tindakan Kerajaan Negeri Selangor yang telah mengambil keputusan untuk menghidupkan semula pembinaan Lebuhraya PJD Link setelah pengumuman pembatalan dibuat Kerajaan Persekutuan 17 April lalu.
Pengerusinya, Gandipan Nantha Gopalan mempersoalkan adakah lobi lebuh raya ini sangat kuat untuk kerajaan negeri tolak dan mengambil pendirian yang berprinsip untuk menolak pembinaan lebuh raya ini.
“30 Julai 2023 Menteri Besar Selangor telah mengumumkan pembatalan pembinaan lebuh raya PJD Link, hari ini Exco Negeri Selangor mengesahkan terdapat cadangan baharu untuk lebuh raya PJD Link dan nampaknya setuju dengan penambahbaikan.
“Menteri Besar sendiri telah memberitahu bahawa kerajaan negeri telah menerima penilaian impak sosial yang menyatakan kebanyakan penduduk tidak setuju dengan pembinaan lebuh raya baru ini. Mengapa kerajaan masih perlu memberi ruang untuk penilaian semula itu untuk berlaku?
“PSM tidak pernah tengok sebuah kerajaan negeri yang teruk dan tidak mampu mengambil sebuah pendirian yang kukuh.
Lantaran itu, beliau meminta Kerajaan Negeri Selangor memberi penjelasan kenapa ia sangat sukar untuk membatalkan terus projek lebuh raya yang dibantah oleh penduduk-penduduk sekitar.
Gandipan mendakwa, projek lebuh raya PJD Link dan semua projek lebuh raya hanya menguntungkan kapitalis dan tidak mengutamakan kelestarian negeri Selangor.
Kerajaan Negeri Selangor harus mengeluarkan dan tidak patut mengklasifikasikan perjanjian konsesi pembangunan penting yang menjejaskan kesejahteraan rakyat di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA); rakyat berhak mengetahui dan mengakses kandungan dokumen kerana ini hak demokrasi negara ini.
Pada masa samaa, kerajaan negeri harus menyediakan satu pelan pengangkutan awam yang baharu sebagai usaha mengurangkan kesesakan jalan raya dan meringankan beban ekonomi rakyat.
Pelan ini harus fokus kawasan seluruh Lembah Klang, terutamanya Bandar Utama, Petaling Jaya, Subang Jaya dan Puchong. – MalaysiaGazette