JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffen tewas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap didakwa bukan kerana kerajaan Madani tidak kuat atau melakukan kesalahan.
Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Muhammad Faezuddin Puad berkata, sebaliknya kekalahan itu disebabkan tidak dapat menguasai media arus perdana dan media sosial selain perang saraf yang lemah.
“Kerajaan buat perkara yang betul walaupun tak popular seperti penyasaran subsidi. Tapi penerangan kepada rakyat dilihat tak begitu berkesan. Kita perlu kuasai media arus perdana mahupun media sosial dengan kreatif.
“Latihan menguasai media, latihan penyampaian maklumat kepada anggota dan pimpinan akar umbi perlu dibanyakkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Perikatan Nasional (PN) semalam berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap selepas calonnya Abidin Ismail menang dalam dengan majoriti 4,267 undi.
Bekas eksekutif lojistik itu memperoleh 14,489 undi, menewaskan Dr Joohari yang juga bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara yang meraih 10,222 undi.
Mengulas lanjut, Faezuddin berkata, ramai anak muda keluar mengundi dalam PRK Sungai Bakap melebihi warga emas tetapi tidak memihak kepada calon Kerajaan Madani.
“Namun, majoriti anak muda beri undi kepada parti lawan. Sebab apa? Apa yang sedang berlaku? Ambil pengajaran.
“Selepas ini program untuk anak muda dan penerangan tentang dasar kerajaan kepada anak muda perlu diperhebat lagi. Perlu lebih kerap santuni mereka,” katanya.
Faezuddin berkata, ramai anak muda begitu mudah terpengaruh dengan dakyah dan naratif yang dibawa pembangkang.
Beliau mendakwa, naratif yang dibawa pembangkang berjaya tawan hati anak muda.
Justeru katanya, pimpinan kerajaan Madani perlu duduk, muhasabah dan lakukan bedah siasat bersama-sama untuk mengatasi kelemahan supaya kekalahan dalam PRK Sungai Bakap tidak berulang.
Langkah itu katanya, perlu dilakukan kerana ramai anak muda keluar mengundi dalam PRK Sungai Bakap melebihi warga emas tetapi tidak memihak kepada calon kerajaan Madani.
Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun dilaporkan berkata, peratusan anak muda keluar mengundi pada PRK DUN Sungai Bakap pada sebelah pagi Sabtu dilihat agak memberangsangkan.
Ramlan berkata, selepas meninjau proses pengundian di tiga pusat pengundian di DUN tersebut, beliau mendapati pola pengundian menyaksikan saluran anak muda merupakan paling banyak diisi. – MalaysiaGazette