Superintendan Shahrulanuar Mushaddat

BATU PAHAT – Hasrat seorang warga emas membuat pelaburan mata wang digital dan mengaut keuntungan besar seperti dijanjikan tidak kesampaian apabila diperdaya RM400,900.

Pemangku Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menerima laporan daripada mangsa iaitu seorang lelaki tempatan berusia 64 tahun.

“Menurut mangsa pada Mac lalu, dia telah berurusan dengan seorang individu yang tidak dikenali menerusi Facebook kemudian berkomunikasi menerusi aplikasi WhatsApp.

“Suspek telah menawarkan kepada mangsa berkenaan pelaburan matawang digital dan memberi pautan laman web kakauet.com kepada mangsa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa kemudian memasukkan maklumat dirinya dalam platform tersebut dan suspek memberitahunya akan mendapat keuntungan besar.

Beliau memberitahu, mangsa yang berminat membuat pindahan wang ke dalam akaun yang berbeza secara berperingkat-peringkat antara tempoh 3 April sehingga 18 Jun lalu melibatkan RM400,900.

Menurutnya, mangsa kemudian menerima mesej daripada suspek menyatakan akaun mangsa telah disita Kementerian Kewangan Amerika Syarikat.

Suspek ujarnya, memaklumkan mangsa perlu membuat bayaran tambahan 3.0 peratus daripada jumlah pelaburan untuk menebus wang pelaburan tersebut.

“Namun mangsa tidak berbuat demikian kerana mengesyaki telah ditipu. Jumlah kerugian mangsa adalah RM400,900. Kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” tambahnya.

Shahrulanuar Mushaddat menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan promosi pelaburan yang menjanjikan pelaburan lumayan dan orang ramai boleh melayari Facebook @jsjkpdrm dan @cybercrimealertrmp bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan jenayah komersial. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast