PUTRAJAYA -Buruh kontrak yang membunuh dan membakar kanak-kanak berusia empat tahun, Nurul Nadirah Abdullah atau lebih dikenali sebagai Dirang 12 tahun lalu, kekal ke tali gantung oleh Mahkamah Persekutuan.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas menolak permohonan Muidin Maidin, 37, yang memohon semakan mengetepikan hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya.
Tengku Maimun menerima bantahan pendakwaan terhadap permohonan semakan Muidin untuk mengetepikan hukuman mati terhadapnya.
“Memandangkan keadaan kes ini, permohonan pemohon (Mudin) ditolak dan hukuman mati dikekalkan,” kata Tengku Maimun yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari membantah permohonan semakan Muidin dan meminta mahkamah mengekalkan hukuman mati kerana Muidin menculik kanak-kanak perempuan berusia empat tahun sembilan bulan yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli mi segera dan telur dari kedai runcit berhampiran.
Mudin kemudian membawa kanak-kanak itu ke ladang kelapa sawit di mana mangsa dibunuh dan dibakar, katanya sambil menambah terdapat kesan asid deoksiribonukleik (DNA) milik tertuduh dalam kemaluan dan dubur mangsa.
“Kes tragis ini mendapat liputan luas dan menjadi topik perbincangan setiap rakyat hampir setahun serta menaikkan rasa marah dan menggangu emosi rakyat Malaysia ketika itu,” katanya.
Sementara itu, peguam Muidin, Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud memohon mahkamah membenarkan semakan dengan mengetepikan hukuman mati dengan alasan anak guamnya kesal dan sudah insaf.
Pada Jun 2013, Mahkamah Tinggi Johor Bahru menjatuhkan hukuman mati terhadap Mudin selepas diapati bersalah membunuh Dirang di ladang kelapa sawit di Jalan Suria 47, Bandar Seri Alam, Masai, Johor antara jam 11.30 pagi pada 1 Mac 2012 dan tengah malam keesokan harinya.
Rayuannya terhadap sabitan dan hukuman mati telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 2014 diikuti Mahkamah Persekutuan pada 2015.
Dirang dilaporkan hilang pada 1 Mac 2012 ketika membeli mi segera dan telur di kedai runcit berhampiran rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam.
Jabatan Kimia mengesahkan ujian DNA ke atas mayat rentung yang dijumpai di sebuah lubang di tapak perumahan terbengkalai di Nusa Damai, Masai, Johor pada 8 Mac 2012 adalah milik mangsa.
— BERNAMA