Teo Nie Ching.

KUALA LUMPUR – Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) tidak berperanan menyekat kebebasan bersuara rakyat seperti yang diperuntukkan di bawah Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, sebaliknya Akta 588 perlu dilihat untuk memastikan hak kebebasan bersuara yang dimiliki digunakan secara berhemah.

“Isu kemudaratan jenayah dalam talian khususnya berkaitan keselamatan rakyat dapat dibendung dengan sewajarnya. Rakyat diingatkan hak kebebasan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan bukanlah mutlak.

“Mengikut Artikel 10(2) Perlembagaan Persekutuan membenarkan Parlimen, melalui undang-undang, mengenakan apa-apa sekatan yang didapati perlu atau suai manfaat.

“Antara lain, demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara-negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen PH-Bangi, Syahredzan Johan dalam Kamar Khas Timbalan Menteri Komunikasi di Parlimen, hari ini.

Nie Ching berkata, prinsip utama kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memastikan isu penyalahgunaan media sosial dapat dibendung demi keutamaan dan kesejahteraan rakyat.

“Tindakan-tindakan penguatkuasaan oleh MCMC hanya akan dijalankan berdasarkan aduan diterima daripada rakyat serta pihak yang terkesan tanpa mengambil kira latar belakang serta kefahaman politik dan ideologi sesuatu pihak.

“Kesemua proses siasatan oleh MCMC akan dilakukan secara telus dan menyeluruh merangkumi semua aspek bagi memastikan prinsip undang-undang dapat ditegakkan dengan seadilnya,” katanya.

Menurut Nie Ching, MCMC telah menjalankan siasatan terhadap 3,077 kes di bawah seksyen 233 Akta 588 dari 2009 hingga 15 Jun 2024.

“Dari jumlah tersebut, sebanyak 151 kes telah didakwa termasuk bagi kesalahan melibatkan elemen “lucah”, sebanyak 72 kes telah didakwa di mahkamah dengan hukuman denda, dengan nilai keseluruhan berjumlah RM617,050.

“Sebanyak 15 kes telah ditawarkan kompaun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM38,000 manakala 18 kes telah dikeluarkan notis amaran,” katanya.

Selain itu, MCMC telah mengambil tindakan bagi kesalahan melibatkan elemen “sumbang” dengan tiga kes telah didakwa di mahkamah dengan hukuman denda, dengan nilai keseluruhan berjumlah RM55,000.

“Sebanyak tiga kes telah dikeluarkan notis amaran,” katanya.

Katanya, bagi kesalahan melibatkan elemen “palsu” pula, sebanyak 25 kes telah didakwa di mahkamah dengan hukuman denda, dengan nilai keseluruhan berjumlah RM162,300.

“Sebanyak empat kes telah ditawarkan kompaun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM11,000 manakala 51 kes telah dikeluarkan notis amaran.

Bagi kesalahan melibatkan elemen “mengancam”, MCMC telah mendakwa tiga kes di mahkamah dengan hukuman denda, dengan nilai keseluruhan berjumlah RM3,000.

“Sebanyak lima kes telah ditawarkan kompaun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM21,000 manakala lima kes telah dikeluarkan notis amaran,” katanya.

Manakala bagi kesalahan melibatkan elemen “jelik” pula, sebanyak 48 kes telah didakwa di mahkamah dengan hukuman denda, dengan nilai keseluruhan berjumlah RM430,000.

“Sebanyak 22 kes telah ditawarkan kompaun dengan nilai keseluruhan berjumlah RM126,000 manakala 25 kes telah dikeluarkan notis amaran,” katanya.

Tambah beliau, siasatan kes yang dijalankan MCMC berdasarkan aduan yang diterima daripada orang awam, permohonan daripada agensi penguatkuasaan lain, serta pemantauan proaktif khususnya aktiviti dalam talian yang melanggar Akta 588.

“Hasil siasatan akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan pendakwaan adalah tertakluk kepada pertimbangan dan keputusan Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Selan itu kata, berhubung status pindaan kepada Akta 588, cadangan itu telah dimuktamadkan dari segi polisi dan akan dibentangkan di Parlimen setelah mendapat kelulusan Jabatan Peguam Negara dan Kabinet.

“Cadangan pindaan Akta 588 ini telah mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan dan pemegang taruh dalam kalangan pemain industri, kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri termasuk agensi penguatkuasaan, keselamatan dan pertahanan serta badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Majlis Peguam Malaysia dan pertubuhan masyarakat madani (CSO) melalui sesi libat urus yang telah diadakan.

“Maklum balas dan cadangan yang diterima hasil daripada sesi libat urus tersebut telah dipertimbangkan dengan sewajarnya dalam memuktamadkan cadangan pindaan Akta 588.

“Berdasarkan sesi libat urus yang telah diadakan tersebut, cadangan pindaan ke atas Akta 588 secara umumnya diterima baik oleh pihak berkepentingan dan pemegang taruh,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast