Faisal menunjukkan longkang di kawasan bangunan Residensi DK Impian, Subang. yang terbuka. Foto SYADILA AMARI, 30 JUN 2024.

KUALA LUMPUR – Lebih 80 pemilik rumah di DK Impian di Subang Bestari, Selangor berdepan dengan rasa tidak puas hati berikutan kediaman yang dibeli dengan harga pasaran semasa tidak mengikuti spesifikasi asal.

Lebih menyakitkan hati apabila kediaman yang diduduki hampir dua tahun itu sudah mula menunjukkan beberapa kerosakan pada struktur kediaman dengan banyak keretakan di kesan pada premis mereka.

Malah, mereka mendakwa, fasiliti yang ditawarkan di kediaman itu bukan sahaja tidak lengkap tetapi binaannya tidak menepati spesifikasi sewajarnya.

V. Thiru Murthi menunjukkan aras bumbung tempat gimnasium yang rendah dan tidak sesuai untuk pengguna dewasa.

Pemilik rumah, V.Thiru Murthi, 50, berkata, dia membeli projek perumahan berkonsepkan SoHo dwikunci itu sekitar RM421,000 pada tahun 2018.

Dia yang mendapat kunci rumah itu pada Februari 2023 amat terkejut apabila melihat kualiti rumah yang diserahkan tidak setanding dengan harga rumah.

Beliau mendakwa, susun atur bilik air yang disediakan oleh pemaju terbabit telah diubah suai daripada reka bentuk asal.

Kawasan parkir DK Impian Subang yang kotor dan tidak diselenggara dengan baik oleh pemaju. Foto SYADILA AMARI, 30 JUN 2024.

“Saya beli rumah ini adalah untuk pelaburan tapi apabila kita dapat kunci rumah dan melihat kualiti pembinaan macam simen serta cat rumah yang mereka berikan memang terkejut.

“Mereka tawarkan tempat BBQ yang cantik, tapi bila kita tengok fasiliti ini hambar sekali, kalau pergi ke bahagian gimnasium pula ketinggian siling itu memang tidak sesuai untuk orang dewasa, bagi saya hanya untuk kanak-kanak. Kalau nak berlari atas treadmill pun kepala dengan bumbung amat dekat (berapa inci) sahaja.

“Kamera litar tertutup (CCTV) pun hanya di tingkat tiga sahaja dan bukan di semua tingkat. Lif pun kerap kali rosak terutama lif bomba hampir empat bulan tidak dibaiki.

Notis lif rosak dikeluarkan oleh pihak pengurusan, namun masih tiada tindakan pembaikan setelah lebih 4 bulan. Foto SYADILA AMARI, 30 JUN 2024.

“Pondok keselamatan seperti kiosk minyak sahaja, amat kecil tidak sama seperti yang ditawarkan sebelum ini,” luahnya yang tidak berpuas hati dengan kualiti rumah yang dibeli.

Ujarnya lagi, lebih memalukan apabila kerja-kerja akhir rumah yang berharga setaraf kondominium itu dihasilkan tidak kemas.

Katanya, kesan simen yang tidak rata boleh dilihat dengan mata kasar dan batang-batang paip tidak diletakkan dengan kemas dan sempurna.

Chan Kok Kelong

Sementara itu, seorang lagi pemilik rumah, Chan Kok Keong yang membeli rumah pada harga sekitar RM440,000 untuk keluasan 620 kaki persegi juga kecewa dengan pihak pemaju yang didakwa tidak menunaikan janji dan mengambil sikap lepas tangan.

Dakwanya, pihak pemaju menawarkan pelbagai perkhidmatan dan perabot dalam pakej pembelian rumah itu namun ia hanya indah dari khabar sahaja.

Lebih menyedihkan apabila servis yang disediakan di perumahan itu tidak ubah seperti menetap di flat sahaja.

Chan Kok Kelong menunjukkan bahagian rroftop yang menggunakan zink hingga menimbulkan bunyi bising apabila hujan lebat. Foto SYADILA AMARI, 30 JUN 2024.

“Kami perlu bayar kos penyelenggaraan rumah ini sekitar RM180 tapi saya kecewa dengan perkhidmatan yang kami peroleh seperti menduduki Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Kalau diparkir bawah tanah pun mereka tidak buat secara kemas, dinding parkir di sini kalau lihat seperti gua sahaja dengan air bertakung dilongkang dan kebocoran di dinding,” adunya dengan nada kecewa.

Beliau juga mendakwa, pemaju hanya menggunakan bumbung zink sahaja untuk tingkat paling atas dan apabila hujan atau ribut, ia menghasilkan bunyi yang sangat bising pada pemilik rumah di tingkat tersebut

Selain itu, tiada pintu untuk ditutup di tingkat 14 yang sekali gus menyebabkan limpahan air hujan yang banyak dari roof top ke tingkat bawah di kawasan tangga.

Malah ketinggian siling yang sangat rendah di lobi bangunan itu turut menyukarkan ambulans untuk mengambil pesakit dan lori juga tidak boleh melalui kawasan itu.

Faisal menunjukkan ketinggian aras bangunan kediaman Residensi DK Impian, Subang. Foto SYADILA AMARI, 30 JUN 2024.

Mengulas lanjut, Thiru Murthi memaklumkan dia bersama beberapa penduduk sudah lama membangkitkan isu tersebut kepada pemaju serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), namun setakat ini tiada sebarang tindakan atau pembaikan dilakukan oleh kedua-dua pihak.

Rata-rata penduduk dan pemilik cuma berharap pihak pemaju dapat bertanggungjawab atas kerosakkan dan segera membaiki semula stuktur kediaman tersebut.

Manakala MBSA digesa mengambil tindakan tegas kepada pemaju dan bukan hanya menutup sebelah mata dengan kecuaian yang dibuat oleh pihak pemaju projek tersebut.

Kenderaan tinggi didakwa sukar untuk memasuki lobi bangunan kediaman ini.

Mereka turut berharap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) segera menyiasat secara mendalam kualiti projek perumahan DK Impian yang didakwa tidak mengikut spesifikasi sebenar.

Langkah ini perlu kerana penduduk rasa tidak puas hati langsung dengan keadaan rumah yang dibeli dengan harga yang bukan murah.

Untuk makluman, projek perumahan DK Impian yang bermula pada 2018 telah memperolehi Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dan bersedia untuk penyerahan pemilikan kosong (VP) dan kunci rumah kepada pembelinya pada September 2022 lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast