KUALA LUMPUR – Tiga individu dari Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dilihat meninggalkan bangunan blok Ahli Parlimen sebentar tadi.
Media yang menunggu di bangunan Parlimen mendapati seorang individu yang dikenalpasti sebagai Ketua Pegawai Perundangan, Merle Fernandez dilihat meninggalkan premis tersebut pada jam 1.35 petang bersama dua lagi individu lain.
Ia berdasarkan kepada tanda nama yang dipakai salah seorang individu berkenaan.
Mereka dipercayai bertemu Menteri Sumber Manusia, Steven Sim.
Bagaimanapun, tiada ulasan diberikan ketiga-tiga individu berkenaan kepada media sebelum beredar menggunakan kenderaan HRD Corp.
Terdahulu, Steven berkata, kementeriannya akan menjalankan audit bebas ke atas HRD Corp.
Steven berkata, langkah itu bagi memastikan ketelusan, juruaudit profesional akan dilantik oleh kementerian itu.
“Berikutan laporan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap operasi HRD Corp dari 2019 sehingga 2023, saya mengarahkan Kesuma untuk menjalankan audit bebas ke atas HRD Corp.
“Audit bebas akan meneliti segala proses, prosedur, dokumentasi dan kepatuhan terhadap undang-undang serta sebarang garis panduan dalam isu dibangkitkan dalam laporan JAN dan PAC,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
HRD Copr terpalit kontroversi apabila Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan panel pelaburan itu gagal melaporkan kepada lembaga pengarah sekali gus aktiviti itu membawa kepada pelaburan berisiko.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, mendedahkan sejak 2017 lagi, tiada wakil daripada Bank Negara Malaysia (BNM) berada dalam panel pelaburan HRD Corp, yang melanggar Akta Pembangunan Sumber Manusia 2001.
Katanya, terdapat prosedur perolehan yang dikesan tidak teratur merangkumi pembelian tanah dan dokumentasi tidak lengkap yang diberikan kepada lembaga pengarah menerusi beberapa transaksi.
Selain itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat isu dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2024, yang mengesyorkan Kesuma merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasa ekoran kegagalan audit.
Selain itu, laporan sama turut mendedahkan berlaku kepincangan dalam pengurusan HRD Corp kerana ketidakpatuhan prosedur serta mengabaikan kepentingan syarikat.
Terdahulu Steven berkata, kementeriannya kini dalam proses perolehan untuk melantik juruaudit profesional dan dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya 31 Julai ini. – MalaysiaGazette